AUSTRALIA dan Uzbekistan telah disahkan sebagai tuan rumah Kejohanan Piala Asia AFC Wanita masing-masing bagi edisi 2026 dan 2029 seperti yang diputuskan Jawatankuasa Eksekutif Bola Sepak Wanita AFC di Bangkok.
Kedua-dua negara ini mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa yang nyata teruja dengan perkembangan bola sepak wanita di benua ini.
“Bagi pihak AFC, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tiga lagi negara yang membida untuk edisi 2026 – Jordan, Arab Saudi dan Uzbekistan dan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Australia dan Persatuan Bola Sepak Uzbekistan selepas masing-masing dipilih sebagai penganjur untuk edisi 2026 dan 2029.
“Perkembangan bola sepak wanita di Asia sangat pesat sejak beberapa tahun ini dan pengenalan Liga Juara-Juara AFC Wanita penghujung tahun ini adalah lambang pemerkasaan dan transformasi bola sepak wanita untuk masa akan datang.
“Saya yakin yang kita akan melihat kejohanan lebih menarik dan kompetitif pada edisi 2026 di Australia yang terkenal dengan sokongan padu terhadap bola sepak wanita sekaligus akan menjadi contoh terbaik buat Uzbekistan yang akan menganjurkan edisi 2029,” jelasnya.
Selepas berjaya menjadi tuan rumah bersama untuk Piala Dunia Wanita FIFA 2023 yang terbaik dalam sejarah, Australia akan menjadi hos kejohanan terbesar bola sepak wanita Asia ini buat kali kedua selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2006 manakala Uzbekistan pula muncul negara Asia Tengah pertama menganjurkan kejohanan seumpama ini.
Edisi 2022 menyaksikan China muncul juara buat kali kesembilan dalam sejarah selepas menewaskan Jepun 3-2 pada perlawanan akhir yang menyaksikan India menjadi tuan rumah.