KETUA pasukan Terengganu FC (TFC), Habib Haroon, menyifatkan masih terlalu awal buat pasukan itu memikirkan aksi final Piala Malaysia yang dijadualkan 9 Disember ini.
Menurut pemain tengah Bahrain itu, mereka memilih pendekatan fokus untuk satu perlawanan demi satu perlawanan apatah lagi menyedari cabaran getir yang menanti.
Apatah lagi Johor Darul Ta’zim (JDT) katanya, bukan calang lawan yang sudah tentu turun selaku pasukan pilihan berbanding skuad Sang Penyu.
“Mara ke perlawanan akhir saingan domestik adalah sasaran awal pasukan pada awal musim dan kejayaan ini membuktikan TFC berada di laluan tepat.
“Semua tahu kualiti JDT yang akan menjadi lawan Disember nanti namun masih terlalu awal untuk merencana persiapan terbaik menghadapi gergasi Malaysia itu.
“Kami akan terbang ke Filipina pada Isnin untuk aksi Piala AFC (Rabu) dan itu yang menjadi fokus TFC ketika ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Meskipun begitu, Habib menegaskan status JDT tidak bermaksud Sang Penyu akan menyerah kalah sambil optimis pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner, memiliki perancangan tersendiri.
“Tahun lalu ketika final Piala FA, saya agak teruja beraksi di depan 80,000 penonton kedua-dua pasukan namun kami tewas kepada lawan sama.
“Jika berada pada prestasi terbaik dengan puluhan ribu penyokong di belakang, kami boleh membaiki pencapaian itu,” tambahnya lagi.
TFC yang mara ke final Piala Malaysia dengan kemenangan 4-2 secara agregat ke atas KL City FC kini dalam persiapan menentang Stallion Laguna pada Rabu.