PENYERANG Negeri Sembilan FC, Shahrel Fikri merasakan masih terlalu awal untuk memperkatakan dia sudah bangkit menemui sentuhan jaringan dan masih mahu bekerja keras untuk kembali ke tahap prestasi terbaik.

Ini selepas kemasukannya ke dalam pasukan membantu Negeri Sembilan mencatat kemenangan 4-2 keatas Kelantan FC dengan dia sendiri menyumbang satu gol dan mencipta satu gol.

Sejak menyertai Negeri Sembilan, dia sering dibawa masuk sebagai pemain gantian oleh K. Devan dan dia berjaya membuktikan potensinya apabila sudah dua kali membantu pasukannya memenangi perlawanan.

“Ini semua adalah rezeki daripada Tuhan dan saya gembira kerana dapat laksanakan tanggungjawab oleh jurulatih untuk mengubah perlawanan dan saya sangat gembira dengan keputusan ini.

“Ianya juga masih terlalu awal untuk mengatakan ini adalah detik-detik kebangkitan buat saya namun saya perlu bekerja keras untuk kembali ke tahap yang terbaik,” katanya selepas perlawanan.

Kemasukan Shahrel pada babak kedua dalam dua perlawanan terakhir ini dilihat banyak membantu serangan pasukan dengan kedua-dua perlawanan berakhir dengan kemenangan buat Negeri Sembilan dan Shahrel terlibat dalam mencipta jaringan kemenangan itu.

Dalam perlawanan menentang Kelantan, Shahrel yang dibawa masuk pada minit ke-57 berjaya meletakkan Negeri Sembilan kembali di depan ketika perlawanan terikat 2-2 pada minit ke-76 sebelum membantu Casagrande mencipta jaringan pada minit ke-89 yang mendapat tepukan gemuruh daripada para penyokong.

Dia juga semakin menunjukkan keserasian bergandingan dengan Levy Madinda dan Casagrande di bahagian serangan Negeri Sembilan dan pastinya dia mahu kembali ke tahap prestasi terbaik seperti yang ditunjukkan ketika beraksi bersama kelab PKNP FC dan Perak FC.