TERENGGANU FC (TFC) bakal mendapatkan khidmat sekurang-kurangnya seorang lagi awang import bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) 2024/25, Mei nanti.
Ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner, berkata, TFC telah mengenalpasti pemain yang beraksi di posisi tengah itu yang berasal dari Croatia.
Enggan mendedahkan identiti pemain berkenaan, Steinbruckner berkata, proses perpindahan itu berjalan positif dan dijangka selesai dua atau tiga minggu lagi.
“Saya cukup gembira melihat bilik persalinan dengan kehadiran muka baharu, semangat baharu dan cabaran baharu. Mereka adalah pemain yang saya mahukan.
“Bagi posisi tengah saya memiliki Akram Mahinan dan Nurillo Tukhtasinov, tetapi saya masih menunggu seorang lagi pemain untuk tiba dari Croatia.
“Perpindahan melibatkan pemain itu dijangka selesai 15 sehingga 20 hari lagi.
“Selain itu saya masih berharap dapat membawa masuk pemain kuota Asean juga bagi posisi tengah” ujarnya kepada FLASH SUKAN pada sesi latihan pertama TFC pada Khamis.
Sesi latihan itu disertai hampir kesemua tonggak skuad Penyu termasuk Safawi Rasid, Akhyar Rashid serta awang import baharu, Ismaheel Akinade dan Matthew Steenvoonden.
Turut mencuri tumpuan ratusan peminat setia TFC yang membanjiri pusat latihan berkenaan untuk melihat dari dekat kelibat pemain-pemain skuad Penyu.