KANCAH Liga MBSB Bank Championship 2024 dikhabarkan bakal berwajah baharu apabila khidmat dua awang import dibenarkan beraksi pada musim hadapan.
Pertandingan liga anjuran Amateur Football League (AFL) tampak berjalan dengan jayanya selepas menyaksikan Imigresen FC ditabalkan selaku sang juara musim ini pada saingan yang penuh dramatik kerana gelaran terpaksa ditentukan sehingga hari terakhir liga.
Namun begitu, difahamkan, penggunaan pemain import bukanlah sewenang-wenangnya diberikan kepada pasukan bertanding kelak dengan mengambil kira keperluan aspek kewangan sesuatu kelab serta tangga gaji para pemain asing.
Walaupun kehadiran mereka ini nanti pastinya memeriahkan suasana Liga MBSB Bank Championship 2024, ia sama sekali tidak akan mengabaikan aspek pemain lokal sedia ada yang bertujuan menyalurkan lebih ramai bakat terpendam ke pentas lebih tinggi.
Difahamkan lagi, pengambilan tersebut adalah bersyarat yang merangkumi tangga gaji bagi pemain import dan kemampuan tadbir urus tanpa menjejaskan kantung kewangan kelab.
“Hanya team yang berkemampuan sahaja boleh mengambil awang import,” kata satu sumber kepada FLASH SUKAN.
Tidak boleh dinafikan sambutan terhadap Liga M3 semakin bertambah terutamanya apabila terdapat beberapa bekas pemain bintang dari Liga Super dan Liga Premier turut beraksi di Liga M3.
Melihat kepada potensi besar yang ada dalam liga amatur pada tahun ini, pihak AFL dikatakan mahu mengukuhkan lagi sistem pertandingan, perbaiki peraturan permainan supaya setiap pasukan yang bersaing dapat mengikut segala kriteria yang telah ditetapkan.
Pada musim ini, AFL bukan sahaja akan mengendalikan saingan Liga M3 tetapi juga Liga M4 dan Liga M5.
Mengikut sejarahnya, pemain import pertama kali diizinkan beraksi sejak Liga Semi Pro diperkenalkan di Malaysia pada 1989, namun pada Ogos 2008 badan induk bola sepak negara itu mengambil tindakan drastik untuk tidak membenarkan mereka beraksi pada musim 2009 sebelum beberapa tahun kemudian kembali ‘menghangatkan’ arena bola sepak tempatan sehinggalah sekarang
Bagaimanapun, segala persoalan desas-desus ini mungkin dapat dirungkai dalam masa terdekat oleh pihak AFL sendiri kepada pihak media.