PERSATUAN Bola Sepak Sabah (SAFA) dilihat berjaya menganjurkan kejohanan antarabangsa dengan baik apabila penganjuran Liga Juara-Juara AFC Wanita 2024-25 mendapat sambutan dan menjadi bualan ramai.
Antara perkara yang mencuri tumpuan peminat bola sepak adalah kehadiran hampir 3,000 penyokong ke Stadium Likas sekali gus mencatatkan sejarah kehadiran tertinggi bola sepak wanita di Malaysia.
Perkara ini nyata menggembirakan para pemain yang menganggap ianya sebagai pembakar semangat dan juga berjaya menggangu moral pasukan lawan sehingga Sabah berjaya mengutip satu mata dalam aksi sulung mereka.
“Bagi saya kehadiran penyokong sangat menakjubkan kerana ini adalah kejohanan pertama antarabangsa di Sabah dan saya ingin berterima kasih kepada semua yang hadir dan teruskan sokongan pada perlawanan selepas ini,” kata penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan.
Selain kehadiran penyokong, keadaan saliran dan perparitan Stadium Likas juga mendapat perhatian ramai apabila keadaan padang kekal baik sepanjang perlawanan meskipun bermain dalam keadaan hujan yang cukup lebat.
Langsung tidak kelihatan lopak air dan perkara ini sangat membanggakan penyokong Sabah kerana ianya membuktikan SAFA berjaya menyelenggarakan padang dengan baik.
Perkara ini perlu dipuji kerana ia membuktikan Malaysia sememangnya bersedia untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa dan berjaya mengelak pemain daripada mengalami kecederaan dan bermain dalam keadaan terbaik.