PASUKAN bola sepak wanita Sabah mencipta sejarah muncul pasukan Malaysia pertama yang layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) 2024-25 selepas menjuarai Kumpulan C dalam peringkat kelayakan.
Skuad kendalian Justin Ganai itu mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan, PSF Nasaf 2-1 di Stadium Likas dan kini akan bersaing dalam Kumpulan.
Dua gol dari pemain import Myanmar, Win Theingi Tun pada babak pertama cukup untuk memberikan kemenangan meskipun terpaksa menahan asakan demi asakan pada akhir babak kedua selepas Nasaf mendapat gol pertama.
Sabah yang hanya mempunyai masa beberapa bulan untuk melakukan persiapan beraksi baik sebagai satu pasukan dan menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri di hadapan 3,683 penyokong sendiri.
Win Theingi Tun yang ditemui selepas perlawanan mengakui dia sangat teruja kerana dapat membantu Sabah mencipta sejarah dan berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukannya yang banyak membantu dia menjaringkan dua gol.
“Saya gembira dan bangga dengan rakan-rakan sepasukan kerana kami bermain baik sebagai satu pasukan dan mereka membantu saya menjaringkan dua gol ini.
“Sudah tentu saya bangga kerana dapat bantu Sabah cipta sejarah dan buktikan kami adalah pasukan yang bagus yang dapat beri saingan kepada pasukan yang lebih kuat,” katanya.
Sementara itu, Justin Ganai memuji barisan pemainnya dan tidak menyangka pasukannya dapat mencipta kejutan dan memberikan kemenangan ini kepada seluruh rakyat Sabah dan Malaysia.
“Tahniah kepada semua pemain saya kerana bermain bersungguh-sungguh dan sangat hebat mereka bermain. Juga kepada SAFA dan pengurus pasukan yang tidak berputus asa membentuk pasukan ini dan kejayaan ini adalah hadiah buat penyokong Sabah dan Malaysia,” jelasnya.
Sabah kini akan terbang ke Wuhan, China di mana peringkat kumpulan akan dilangsungkan secara karnival dan akan berhadapan Wuhan Jiangda, Incheon Red Angels dan Abu Dhabi Country Club dengan dua pasukan teratas dan dua pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke suku akhir.