TANPA meletakkan sebarang tekanan berlebihan, skuad bola sepak wanita Sabah dilihat sudah bersedia memulakan cabaran dalam peringkat kelayakan Liga Juara-Juara AFC Wanita 2024-25 (AWCL) dengan kelab Nepal, APF FC akan menjadi pencabar pada Rabu.
Sabah yang layak ke AWCL atas tiket juara Liga Wanita Nasional musim lalu sudah memperkuatkan pasukan dengan membawa masuk tiga pemain import serta dua pemain kebangsaan Malaysia untuk memberikan saingan di Asia.
Menambah kelebihan buat skuad kendalian Justin Ganai itu adalah Stadium Likas terpilih menjadi gelanggang berpusat Kumpulan C sekali gus memberikan kelebihan buat Sabah apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Pengurus pasukan, Arziz Afizy Rumsani menjelaskan mereka sudah bersedia dengan para pemain sudah tidak sabar untuk beraksi dan mengharapkan sokongan daripada penyokong untuk menberikan aksi terbaik mereka.
“Pasukan Sabah sudah bersedia menghadapi APF FC dalam saingan kelayakan AWCL pada Rabu dengan semua pemain dilihat bersemangat untuk beraksi ketika ini.
“Harapan kami adalah kita mampu memberi saingan seterusnya memenangi perlawanan tersebut dan ianya akan menyuntik semangat pasukan sebelum bertemu pasukan Nassaf FC untuk perlawanan kedua pada 31 Ogos.
“Kami juga berharap agar penyokong dapat hadir ke Stadium Likas untuk memberi sokongan yang padu kepada kami,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Namun pengendali APF FC, Rajendra Tamang optimis anak-anak buahnya mampu menewaskan Sabah meskipun mengakui ianya bukan perkara yang mudah untuk dilakukan pasukannya.
“Kami akan bertahan dengan lebih baik dan menyerap tekanan lebih awal serta bermain permainan kami dan kami yakin mampu tewaskan Sabah meskipun ianya sukar tetapi kami cuba lakukannya,” katanya menjelang perlawanan.
Kemenangan akan membuka laluan lebih cerah buat Sabah layak ke peringkat kumpulan dengan APF FC juga mencari kemenangan selepas tewas pada aksi pembukaan 0-1 di tangan Nassaf FC sekali gus kini diambang penyingkiran.