PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia untuk memberi bantuan kepada pasukan bola sepak wanita Sabah, dalam merekrut seramai enam pemain import bagi menguatkan lagi pasukan untuk berdepan cabaran dalam Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2024.

Kejohanan yang akan berlangsung pada 25 hingga 31 Ogos depan itu bakal menyaksikan pasukan wanita Sabah berentap untuk melayakkan diri ke pusingan kumpulan seterusnya dan bantuan daripada enam kuota pemain import adalah penting untuk merealisasikan harapan.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob mendedahkan perkara demikian sejurus menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan sedia ada pada pasukan Sabah, untuk membawa nama bola sepak wanita Malaysia ke persada tinggi dunia.

Bola sepak wanita Sabah layak ke AWCL 2024/25.

“Kita bangga kerana Sabah akan menjadi tuan rumah untuk Kelayakan pertama, saya juga pasti bahawa Sabah juga berbangga terhadap pasukan wanitanya.

“Kita harap pihak FAM akan bantu mereka mendapatkan pemain luar, kalau diberikan kuota seramai enam orang. Ketua Penasihat Teknikal Bola Sepak Wanita (Soleen Al Zoubi) juga akan menasihati mereka, pemain-pemain yang bersesuaian mewakili Sabah untuk ke pentas AWCL.

“Kita percaya mereka boleh layak untuk ke kelayakan peringkat seterusnya, dan kemudian kita lihat kumpulan dimana mereka berada. Tetapi setakat ini jika kita lihat, Sabah mempunyai kelebihan dan akan beri saingan sangat hebat,” ujarnya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Pemain Sabah dominasi skuad wanita kebangsaan.

Dalam perkembangan sama, Suraya turut meluahkan rasa bangga terhadap pasukan bola sepak wanita Sabah, dan memberi tanda positif mengenai perkembangan bola sepak wanita dalam Malaysia, yang dibantu oleh kehebatan pasukan Sabah.

“Penanda aras bola sepak wanita di Malaysia adalah Sabah. Itu yang kita tidak dapat nafikan kerana mereka bermula awal dan mereka mempunyai akar umbi yang agak besar. Mereka melaksanakan kejohanan liga mereka sendiri secara berterusan pada setiap tahun dan itu satu yang membanggakan,” tambahnya.

Pasukan bola sepak wanita Sabah berjaya meraih tiket ke AWCL 2024/25 dan bertemu 14 pasukan lain selepas memegang gelaran juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2023.