PENJAGA gawang skuad wanita Sabah, Azurin Mazlan tetap berbangga meskipun Sabah tersingkir daripada Liga Juara-Juara Wanita Asia (AWCL).
Akur perjalanan pasukan itu berakhir lebih awal, Azurin menyifatkan pengalaman itu sebagai salah satu yang paling bermakna dalam hidupnya.
“Saya tidak pernah terfikir untuk menamatkan perjalanan dengan cara ini. Ia adalah perkara yang paling sukar untuk dipelajari dan dihadam.
“Tidak akan berbohong tetapi ia adalah pengalaman dan perjalanan hebat yang saya alami dalam hidup saya. Pasukan ini lebih daripada sekadar sebuah pasukan.
“Sokongan daripada semua orang yang terlibat dalam pasukan ini adalah gila, dan mereka berhak untuk dilayan seperti juara. Berada dalam 12 terbaik Asia bukanlah mudah tetapi Sabah FA berjaya mencapainya,” katanya.
Dalam perlawanan itu, Azurin dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan susulan melakukan terjahan keras ke atas pemain lawan pada minit ke-25 untuk Sabah terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
“Semalam adalah hari yang buruk untuk saya dan rakan sepasukan, saya adalah seorang pejuang yang sebenar, saya sangat bangga dan saya kesal dengan apa yang berlaku semalam. Saya pasti akan belajar daripadanya dan bangkit dengan lebih kuat,” ujarnya.
Dalam perlawanan terakhir mereka, Sabah seri 2-2 menentang Abu Dhabi Country Club dari Emiriah Arab Bersatu.
ARTIKEL BERKAITAN : Sabah layak ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC 2024
Untuk rekod, Sabah tidak berjaya meraih sebarang kemenangan dalam saingan Kumpulan A apabila tewas dalam dua aksi pertama sebelum ini berdepan Incheon Red Angels dan Wuhan Jiangda.
Sebelum ini, anak didik Justin Ganai mencipta sejarah apabila menjadi pasukan wanita pertama negara melepasi pusingan kelayakan untuk mara ke peringkat kumpulan saingan AWCL, Ogos lalu.