JAGUH badminton Denmark, Viktor Axelsen mengakui pemain profesional negara Lee Zii Jia adalah lawan paling sukar pada masa ini.
Axelsen yang juga merupakan pemain No.1 dunia ini bakal mencuri tumpuan peminat-peminat badminton tanah air menjelang Terbuka Malaysia 2022 minggu depan.
Pemain berusia 28 tahun ini masih ‘panas’ selepas mempertahankan gelaran juara Terbuka Indonesia minggu lalu yang turut menyaksikan Axelsen terpaksa bertarung selama 70 minit sebelum menyingkirkan Zii Jia 19-21, 21-11, 23-21 pada saingan separuh akhir di Stadium Istora Senayan, Jakarta, Sabtu lalu.
Memburu gelaran sulung Terbuka Malaysia 2022 minggu depan dan gelaran kedua Masters Malaysia selepas 2018, Axelsen menyifatkan Zii Jia sebagai berkebolehan membuktikan kemampuan beraksi pada tahap terbaik.
Viktor Axelsen 🇩🇰 and Lee Zii Jia 🇲🇾 pull out all the stops to book their spot into tomorrow’s finals.#BWFWorldTour #IndonesiaOpen2022finals. pic.twitter.com/ILrkAVXjJj
— BWF (@bwfmedia) June 18, 2022
“Zii Jia merupakan lawan yang memberi cabaran paling getir di Indonesia. Semua orang tahu wakil Malaysia itu seorang pemain yang hebat. Dia juga seorang insan yang hebat di luar gelanggang…jadi seronok mempunyai ramai pemain handalan.
“Memang bagus mempunyai ramai pemain perseorangan yang kompetitif tetapi sudah pasti Zii Jia adalah pemain lawan yang hebat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (BAM) di Bukit Kiara di sini pada Selasa.
Terbuka Malaysia akan berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil di sini dari 28 Jun hingga 3 Julai manakala Masters Malaysia di venue sama mulai 5 hingga 10 Julai ini. – Bernama