KEMUNCULAN sulung wonderkid Manchester United Kobbie Mainoo di Euro 2024 menjadi viral kerana bapanya menontonnya secara langsung bertepatan dengan ulang tahun Hari Bapa.
Mainoo berjaya membuat penampilan sulung manis di Euro 2024 dan memainkan peranan dalam membawa England menang 1-0 ke atas Serbia pada perlawanan pertama Kumpulan C di Stadium AufSchalke Arena, awal pagi Isnin.
Gol tunggal The Three Lions dijaringkan oleh Jude Bellingham pada minit ke-13.
Bintang Real Madrid itu berjaya menyambut hantaran lintang Bukayo Saka dengan tandukan hebat.
Bellingham kemudian ditarik keluar pada minit ke-86 dan posisinya digantikan oleh Mainoo, yang mula menjadi tumpuan.
Uniknya, bapa Mainoo menjadi viral di media sosial. Foto bapanya memerhati Mainoo dari tempat duduk di stadium menjadi tumpuan netizen.
Sebabnya, detik ini bertepatan dengan sambutan “Hari Bapa”. Foto bapa memerhatikan anaknya itu mempunyai makna yang luar biasa di mata netizen.
“Bapa Kobbie Maino berada di stadium untuk menyaksikan anaknya membuat penampilan pertamanya dalam kejohanan antarabangsa utama untuk England pada Hari Bapa. Alangkah indahnya,” tulis TNT Sports di platform X.
Kebanyakan netizen membalas muat naik tersebut dengan reaksi positif.
“Hari yang membanggakan untuk bapanya. Menonton penampilan anaknya untuk pasukan kebangsaan. Kebanggaan dan penghormatan untuk seluruh keluarga. Tahniah, Mainoo!” tulis seorang netizen.
“Momen yang ikonik dan menggambarkan betapa bangganya menjadi seorang bapa,” kata akaun lain.
Prestasi mengagumkan Mainoo bersama Manchester United telah berjaya menarik perhatian jurulatih England, Gareth Southgate.
Pemain tengah berusia 19 tahun itu dipilih berbanding bintang Manchester City, Jack Grealish.