PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe gembira dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemain-pemainnya dalam aksi ketika membenam cabaran Perak FC 4-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.
Dia juga gembira kerana berjaya bangkit selepas tewas kepada Sabah FC di Likas pada perlawanan sebelum ini dan mahu pemain lebih fokus terutama apabila bakal bertemu Kedah Darul Aman FC dalam perlawanan selepas ini.
Tindakan bekas pengendali kebangsaan itu memberikan tanggungjawab kapten pasukan kepada Mukhairi Ajmal juga membuahkan hasil apabila dia bukan sahaja menunjukkan sikap kepimpinan di atas padang tetapi juga berjaya menyumbangkan satu gol.
LIGA SUPER 2023
FT: Perak FC 0-4 Selangor FC
⚽ Ayron Del Valle 41', 69', Faisal Halim 45'+1, Mukhairi Ajmal 51'#LigaSuper2023#KejorYobKejor#MKLK pic.twitter.com/LQivjQV27W
— Flash Sukan (@FlashSukan) May 20, 2023
“Secara keseluruhan kita nampak kesungguhan setiap pemain sungguh penting selepas keciciran mata di Sabah. Perlawanan ini penting untuk dapat tiga mata dan dapat lihat komitmen pemain dalam perlawanan ini cukup baik dan yang penting dapat kekalkannya konsisten dan keyakinan untuk perlawanan akan datang.
“Kita ada lakukan tiga pertukaran dalam perlawanan ini. Alif Haiqal bermain baik dan harap pemain yang diturunkan ini dapat keyakinan dalam perlawanan dan saya mahu mereka fokus dalam setiap perlawanan kerana setiap mata itu penting untuk Selangor.
“Kalau kita lihat secara keseluruhan Ajmal mempunyai potensi di masa hadapan sebagai pemain senior. Walaupun usia muda tetapi dalam padang dia ada sifat kepimpinan. Tanggungjawab dia cukup penting untuk pasukan dari segi perlawanan dan keyakinannya begitu menonjol.
“Dia adalah kapten pasukan kebangsaan B23. Ini membuktikan dia ada karektor yang terbaik dan perlu bekerja keras untuk pastikan dia berada pada tahap lebih baik. Dengan kerjasama daripada semua dan barisan kejurulatihan kami rasa dia mampu pergi lebih baik dan ini baik untuk dirinya dan pasukan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Cheng Hoe juga berpuas hati kerana penyerangnya, Ayron Del Valle berjaya menutup mulut pengkritik dengan dua jaringan dan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan sekaligus membalas kepercayaan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan pasukan.
“Ayron adalah aset yang kita ada. Dia bukan sahaja menjaringkan gol tetapi sumbangan dalam bahagian serangan cukup penting. Kita tidak boleh bergantung kepada dia 100 peratus tetapi kami yakin dengan sefahaman dan kombinasi antara dia dengan pemain lain untuk hasilkan keputusan yang terbaik.
Kadang kala ada timbul persoalan tentang kebolehan dan keyakinan dia sebagai penyerang tetapi kami masih lagi yakin dengan apa yang dia tunjukkan dalam latihan dan perlawanan,” tambahnya.
Cheng Hoe ternyata lega apabila Selangor berjaya mendahului dengan selesa di awal babak kedua dan ini membolehkan dia merehatkan beberapa pemain utama sebagai persediaan berhadapan Kedah di tempat sendiri pada Rabu.
“Itu adalah strategi dan taktikal pasukan. Selepas dapat tiga gol kami perlu rehatkan pemain utama kerana Kedah dalam momentum yang terbaik dan kita perlu kekalkan bentuk pasukan dari segi intensiti dan bila lakukan pertukaran kita masih mampu cipta peluang jaringkan gol.”