GOL tunggal Ayron Del Valle memastikan tiket Liga Juara-Juara AFC 2 musim hadapan menjadi milik Selangor FC selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC dalam saingan ke-25 Liga Super di Alor Setar pada Sabtu.
Tiga mata di raih anak buah Tan Cheng Hoe juga membolehkan mereka bergelar naib juara liga dengan meraih 58 mata di belakang Johor Darul Ta’zim.
Pada aksi terbabit, KDA FC lebih menguasai permainan namun buntu untuk mengatasi benteng pelawat yang bertahan dengan berdisiplin dan tidak memberi banyak ruang kepada tuan rumah.
Deretan peluang terhidang buat kedua-dua pasukan terutamanya Kedah yang mendapatkan sekurang-kurangnya tiga percubaan tetapi dihampakan oleh penjaga gol, Samuel Somerville.
Pergerakan pemain sayap lincah SFC, Faisal Halim yang dibayangi pertahanan Kedah menyukarkan dirinya mencipta hantaran berkualiti buat rakan sepasukannya.
Kalamullah Al-Hafiz turut melakukan dua kali penyelamatan luar biasa manakala Yohandry Orozco cukup berbahaya menerusi rembatan kaki kiri.
Serangan bertubi-tubi Selangor ke gawang lawan akhirnya membuahkan hasil apabila Ayron Del Valle memecahkan kebuntuan jaringan m-64 sekali gus gol ke-23 peribadi dalam liga.
Usaha Kedah mendapatkan sekurang-kurangnya gol penyamaan berkecai apabila tiupan panjang Fitri Maskon menutup permainan 90 minit penuh sengit dan mendebarkan.
Kedah akan bertandang ke Likas berdepan Sabah manakala Selangor melengkapkan aksi terakhir menentang PDRM.