KURANG beberapa jam lagi sepak mula melibatkan pertembungan skuad Bawah 23 (B-23) Malaysia bertemu Thailand pada aksi sulung Kumpulan B Sukan SEA 2021 di Stadium Thien Truong, Hanoi.
Atas kertas pasukan Gajah Perang miliki kelebihan jika bersandar kepada senarai yang dibawa termasuk memanggil pemain bermain di luar negara.
Namun begitu, pemain tengah B-23 negara Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi tidak menghiraukan reputasi dimiliki Thailand, sebaliknya menuntut rakan sepasukan fokus kepada pasukan.
“Tahun lepas kita dah berlawan di Mongolia (Kelayakan Piala Asia B-23 2022), bagi saya kita tidak boleh nak tengok apa Thailand punya taktikal dan sebagainya, kita kena fokus pada pasukan dulu.
“Apa yang diarahkan jurulatih kita lakukan di padang,” katanya dipetik Bernama.
Selepas menentang Thailand, Malaysia dijadual menentang Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan Kemboja 16 Mei di venue sama dalam memburu dua slot terbaik ke peringkat separuh akhir.
Sementara itu, rata-rata penyokong tempatan menzahirkan dukungan padu dan tidak henti buat skuad Brad Maloney dan pemain.
Menerusi hantaran di Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Irfan Mahbud percaya kemampuan pemain negara melakar kejutan ke atas Thailand.
“Mantap kita ada penyerang sensasi dari Belgium dan Japan. Semoga boleh makan Thailand,” tulisnya penuh yakin.
Edy Zahari pula menulis : “Harimau mengaum.”
Flash Sukan berharap pasukan kita berjuang sehingga titisan peluh terakhir. Kami semua rakyat Malaysia mendoakan kejayaan anda semua.