Komentar oleh Mohd Fariq
SEJAK kehadirannya di tanah Malaysia, Kim Pan-gon tidak seperti jurulatih kebangsaan terdahulu.
Dia jarang-jarang membuat kenyataan media, melainkan untuk pra dan pasca perlawanan yang menuntut kehadirannya.
Kenyataannya di lidah rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di semua platform media sosial boleh dikira dengan dua tangan, rasanya, sejak Pan-gon menjejakkan kakinya di Malaysia pada awal 2022, bagi menggantikan Tan Cheng Hoe.
Jadi apabila hari ini Pan-gon menyatakan kesediannya melayan kunjungan Kyrgyzstan dalam perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, penulis harus menyokong penuh pendiriannya.
Kata-katanya cukup benar.
“Stadium Nasional, Bukit Jalil merupakan Rumah Harimau Malaya. Para penyokong dan pemain sendiri sudah cukup biasa dengan suasana di stadium ini. Ia kubu kuat pasukan Harimau Malaya.
“Besarlah harapan saya supaya perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 16 November ini akan tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional.
“Selain memudahkan urusan kehadiran penyokong memandangkan Stadium Nasional ini terletak di Lembah Klang sekali gus lebih ramai yang boleh hadir, ia juga membantu mengurangkan tempoh perjalanan pasukan Harimau Malaya sendiri berbanding jika aksi di gelanggang sendiri ini dilangsungkan di luar Lembah Klang.
“Berdasarkan tinjauan terkini bersama pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) semalam, kami mendapati bahawa keadaan padang adalah bertambah baik berbanding ketika Pestabola Merdeka, bulan lepas.
“Dari segi teknikal, keadaan padang di Stadium Nasional pasti akan lebih baik menjelang tempoh dua minggu yang akan datang ini. Walaupun bukanlah 100 peratus, cukup untuk kita bermain di atas permukaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Lagipun untuk aksi bertemu Republik Kyrgyz ini hanyalah satu perlawanan, sebelum kami terbang ke Chinese Taipei untuk perlawanan kedua pada 21 November.
“Jadi harapan saya, perlawanan 16 November ini akan kekal berlangsung di Bukit Jalil dan saya juga menyeru para penyokong Harimau Malaya dapat datang beramai-ramai memberikan sokongan kepada pasukan kita bagi memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.”
Bait-bait katanya tidak boleh dijadikan topik perdebatan.
Dari segi logistik, Stadium Nasional adalah lokasi pusat yang sesuai untuk semua pemegang taruh, khususnya untuk pergerakan pasukan kebangsaan.
Cumanya, tahap kesediaan pengurusan stadium dari segi permukaan padang tidak dianggap 100 peratus sempurna.
Namun Pan-gon berani mengambil risiko untuk satu perlawanan ini sebelum Harimau Malaya bertandang ke Chinese Taipei selepas itu.
Apa sahaja standard permukaan padang di Stadium Nasional, Pan-gon sanggup mengetepikannya, asalkan anak buahnya selesa beraksi di gelanggang yang dianggap rumah Harimau Malaya.
Walaupun akan timbul persoalan terhadap mutu padang yang belum matang sepenuhnya, penulis menganggap Pan-gon menaruh keyakinan terhadap Perbadanan Stadium untuk menyelesaikannya sebaik mungkin.