PERAK FC sah mengikat seorang lagi pemain tengah baharu untuk mengharungi 11 baki perlawanan saingan Liga Super musim ini.
Bekas pemain tengah Terengganu FC, Azalinullah Alias menjadi sandaran skuad The Bos Gaurus dalam misi memperbaiki kedudukan lebih baik dalam liga.
Perkembangan terbaharu mengenai kehadiran pemain berusia 27 tahun itu disahkan Perak menerusi video pengenalan pemain di laman Youtube TBG TV pada Khamis.
“Alhamdulillah saya bersyukur dapat bermain untuk pasukan Perak FC. Pertama kali saya berterima kasih kepada jurulatih (Yusri Che Lah) sebab bagi saya peluang untuk saya sarung jersi Perak.
“Insya Allah saya akan buat yang terbaik dan balas balik apa yang jurulatih bagi kat saya dan Insya Allah saya akan tolong pasukan dapat keputusan yang baik,” kata pemain berketinggian 1.70 meter itu.
Berdasarkan rekod, Azali pernah ditimpa kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang pertama pada tahun 2015 ketika bersama Harimau Muda C. Seterusnya, kecederaan ini kembali berulang pada awal musim 2019.
Untuk kali ketiga, kecederaan ini menerpanya ketika beraksi menentang Melaka United dalam saingan Liga Super pada bulan Mac tahun lalu.
Kecederaan tersebut menyebabkan pemain tengah berbakat ini terpaksa melupakan saingan 2021 bagi memberi tumpuan untuk dirinya pulih seperti sedia kala.