PEMAIN tengah kebangsaan, Nor Azam Azih tidak mahu memikirkan tentang kecederaan lutut yang dialaminya sebaliknya hanya fokus kepada persiapan untuk aksi Harimau Malaya menentang Hong Kong pada Selasa ini bagi saingan Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1.
Ini selepas dia kembali dipanggil oleh Kim Pan-gon untuk menyertai skuad kebangsaan selepas tidak terlibat ketika kempen Piala Mitsubishi Electric AFF pada Disember 2022.
Dalam pada itu Azam juga tidak merasa tertekan dengan lambakan pemain tengah terutama dengan kemasukan dua pemain naturalisasi baharu kerana ia menganggap perkara itu akan memberikan lebih kekuatan kepada skuad negara.
“Saya rasakan kaki saya baik cuma ada sedikit sakit tetapi masih boleh bermain. Saya terapkan keberanian untuk bermain tanpa rasa takut kerana saya diajar sebegitu. Kalau ikutkan, kesakitan semakin kurang dan saya lebihkan latihan di gimnasium untuk kurangkan kesakitan.
“Panggilan kali ini memang ramai pemain tengah. Saingan itu bagus tetapi terpulang kepada jurulatih siapa yang hendak diturunkan tetapi kepada yang tidak bermain, kami tetap beri sokongan kepada rakan-rakan.
“Setiap pemain tengah ada kelebihan masing-masing tetapi kelebihan saya kini apabila saya sudah bertukar posisi dengan bermain lebih keatas dan hantaran bola jauh adalah kelebihan yang saya boleh berikan kepada pasukan,” katanya kepada media di hotel penginapan pasukan pada Ahad.
Dalam pada itu, Azam juga gembira dengan kehadiran pemain Johor Darul Ta’zim yang dianggap dapat menambahkan semangat para pemain lain selain dia yakin ketiadaan Arif Aiman dapat ditampung pemain lain yang juga mempunyai kualiti.
“Saya rasa ada pemain JDT menambah semangat kami kerana mereka telah bermain di tahap yang tinggi dan boleh membantu rakan-rakan untuk capai apa yang dimahukan oleh jurulatih.
“Tanpa Arif Aiman ianya sedikit terjejas tetapi pemain lain masih ada kualiti untuk menggantinya seperti mana yang dibuktikan ketika kita melawan Turkmenistan pada Jumaat,” tambahnya.
Siaran Media: Arif Aiman, Endrick Dilepaskan Dari Kem Latihan Pusat Skuad Harimau Malaya
▶️ Baca penuh di https://t.co/8qfq2gyS3d#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/BDYlFRpxA7
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 26, 2023
Pemain yang baru membuat penampilan ke-200 bersama kelab Sri Pahang FC turut menganggap persembahan dua pemain tengah naturalisasi baharu, Paulo Josue dan Endrick dos Santos pada perlawanan menentang Turkmenistan sebelum ini memuaskan dan perlu diberi masa lagi untuk lebih memahami corak taktikal yang dikehendaki.
Azam bersama-sama rakan sepasukan kini dalam proses persediaan terakhir menentang Hong Kong dan dia yakin barisan kejurulatihan sudah melakukan persiapan rapi dan kini terpulang kepada pemain untuk menterjemahkan taktikan itu di dalam padang.
Harimau Malaya akan berhadapan Hong Kong pada Selasa di Stadium Sultan Ibrahim dengan kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu pada Jun 2022 dimana Malaysia menang 2-0 dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.