PEMAIN pertahanan muda kebangsaan, Azam Azmi Murad terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di Piala Asia B-23 tahun di Qatar pada April selepas disahkan mengalami kecederaan serius pada kakinya.

Azam yang diletakkan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Oman terpaksa diusung keluar pada minit ke-24 selepas terjahan yang kurang tepat ke atas pemain lawan.

Akibatnya dia dilihat meninggalkan stadium dalam keadaan bertongkat dan memakai pendakap kaki sekali gus mengesahkan kecederaan serius yang dialami pemain Terengganu FC itu.

Azam meninggalkan stadium dalam keadaan bertongkat dan memakai pendakap kaki

Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengesahkan kecederaan Azam dan dia sedih melihat keadaan pemain itu yang kini terlepas untuk mewakili skuad B-23 ke Piala Asia nanti.

“Saya rasa kecederaannya serius dan sukar untuknya ke Piala Asia B-23, saya simpati dengan nasib yang melanda dirinya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun begitu, Azam masih perlu menunggu hasil ujian menyeluruh sebelum dapat mengetahui tahap kecederaan dan berapa lama tempoh dia akan diketepikan sekali gus memberikan berita buruk buat Juan Torres Garrido menjelang aksi Piala Asia B-23.

Azam beraksi cemerlang sebelum mengalami kecederaan

Azam Azmi adalah salah seorang dari empat tonggak skuad B-23 selain Mukhaini Ajmal, Harith Haiqal dan Nooa Laine yang diserapkan ke skuad senior untuk aksi kelayakan Piala Dunia oleh Pan-gon dan hanya Azam diberikan peluang bermain dalam kedua-dua aksi bertemu Oman.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat pemain B-23 curi tumpuan hari pertama sesi latihan di Oman