PEMAIN pertahanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad tekad ingin mendapatkan semula prestasi terbaik selepas akhirnya diberi kepercayaan untuk kembali beraksi penuh dalam aksi suku akhir pertama Piala FA tempoh hari.
Azam kembali berada dalam kesebelasan utama bersama pasukan selepas dibelenggu dengan kecederaan kaki sebelum ini dan mampu beraksi selama 90 minit untuk membantu kelab meraih kemenangan berharga 4-0 ke atas Sabah FC, minggu lalu.
Nyata pemain muda berusia 23 tahun itu tidak mengalah dalam mendapatkan semula tahap kecergasannya selepas pulih dan akan terus berusaha dalam memastikan dia terus beraksi terutamanya di pentas Piala FA ini.
“Alhamdulillah semakin hari saya semakin bersemangat untuk terus berlatih dan memberikan yang terbaik di atas padang selepas agak lama berehat akibat kecederaan.
“Saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi oleh jurulatih setiap kali turun beraksi dan tidak sangka saya dapat beraksi penuh tempoh hari untuk membantu pasukan raih kemenangan.
“Apa pun, saya masih belum berpuas hati dan perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan momentum terbaik seperti biasa dan yang paling penting adalah perlu mengelakkan daripada sebarang kecederaan lagi selepas ini,” jelasnya.
Terengganu FC ketika ini di laluan terbaik selepas membawa bekalan selesa 4 gol ke Sabah bagi aksi suku akhir kedua pada Sabtu ini.
Namun, bakal beraksi di Stadium Likas, Azam menjangkakan aura yang lebih berbeza selain perlawanan yang lebih sengit untuk dihadapi tanpa memandang rendah keupayaan anak buah Datuk Ong Kim Swee itu.
“Walaupun kita dah ada 4 gol untuk dibawa ke Sabah, tetapi kita masih ada 90 minit untuk memastikan kemenangan terus menjadi milik Terengganu sekaligus layak ke sseparuh akhir.
“Apa sahaja boleh berlaku dan sudah tentu Sabah FC lebih bersemangat untuk kembali bangkit dan tidak akan memberi laluan mudah kepada kita.
“Tetapi, saya percaya kita di Terengganu FC akan lebih waspada kali ini dan tidak akan melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan itu nanti,” jelasnya.