BEKAS ratu terjun negara, Datuk Leong Mun Yee antara calon yang memohon mengisi jawatan Pengarah Teknikal skuad terjun negara, mempunyai alasan tersendiri untuk kembali ke dunia terjun.
Menurutnya, skop kerja sebagai pengarah teknikal lebih luas merangkumi program pembangunan atlet, satu posisi sangat penting dalam usaha melahirkan jaguh dalam sukan itu.
Mun Yee yaking pengalaman yang dimilikinya mampu melahirkan lebih ramai atlet memandangkan dirinya sendiri antara bakat yang dicungkil daripada program akar umbi.
“Jawatan TD (pengarah teknikal) ini skop dia lebih luas. Tugas dia bukan sahaja fokus kepada skuad elit tetapi juga pelapis dan pembangunan bakat-bakat baharu.
“Bagi saya program pembangunan ini sangat penting sebab mereka ini nanti yang akan jadi atlet senior.
“Apa yang saya lihat sekarang kita kekurangan atlet terutamanya pelapis wanita dan situasi itu boleh nampak pada Sukan Malaysia tahun lepas yang mana kategori perempuan tak dipertandingkan,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Kehormat Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Andy Low mengumumkan empat calon dipanggil untuk temu duga jawatan pengarah teknikal antaranya Mun Yee, Bryan Nickson Lomas, Mohd Azheem Bahari dan Khairul Safwan Mansur.
Selain itu, Andy turut mengumumkan dua calon untuk mengisi tugas Pengarah Prestasi Tinggi adalah Rossharisham Roslan dan Kelvin Chong.
Dalam pada itu, Mun Yee memberitahu sekiranya dia berjaya menggalas tugas berkenaan, beliau meletakkan sasaran untuk melahirkan atlet muda yang mampu menjadi penyumbang pingat buat kontinjen negara di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.