PERPISAHAN dengan keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagai pengganti kepada sambutan tahun baharu buat pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, apabila berlepas ke Amerika Syarikat (AS) jam 2.30 pagi tadi.
Dalam keterujaan yang dapat dilihat pada suasana ahli keluarga dan sahabat handai yang mengiringi atlet muda negara ke Universiti Auburn itu, getaran suara anak muda berusia 18 tahun itu menceritakan segala-galanya.
Bagai menyembunyikan kerinduan yang sudah mula bertandang, namun Azeem yang bercita-cita besar cukup kuat untuk membendung rasa itu.
“Kerinduan dan tekanan akan terasa, sekarang pun saya sedang rasakannya tapi di sana nanti halangan akan menjadi lebih besar, jadi saya perlu kuat dari sekarang, untuk ‘unlock my next level’.
“Harapan utama saya untuk diri sendiri, semoga saya berjaya capai sasaran menjadi rakyat Malaysia pertama layak secara merit ke final Sukan Olimpik (100m),” kata Azeem dalam nada bergetar, cuba menahan kesayuan mahu berpisah dengan keluarga.
Selain bapa Mohd Fahmi Tajuid, 53, dan ibunya Norazah Ibrahim, 53, tiga abang, seorang adik perempuan, serta kira-kira 100 saudara mara serta sahabat handai Azeem, turut mengiringi Azeem di KLIA sejak jam 11 malam lagi.
Menurutnya, bagi menguatkan semangatnya untuk kekal istiqomah di AS, dia membawa sekeping surat ditulis ibunya yang mengandungi doa, yang dibacakan ibunya ketika menunaikan umrah sebelum ini.
“Saya bawa surat yang ditulis mama ketika di Mekah dulu. Surat ini akan menjadi penguat saya di sana.
“Tidak dinafikan keluarga saya akan sentiasa menyokong dan berhubung secara maya,.. tetapi surat mama itulah yang akan menjadi pemangkin semangat saya, yang dapat saya lihat depan mata,” kata Azeem.
Dalam keterujaan dan rasa sayu, Azeem sempat mendedahkan dia membawa ‘selimut busuk’ kesayangan ke AS.
“Selimut tu saya tak boleh tinggal, adik saya lihat pun di ketawa,” kata Azeem.
Sementara menanti penerbangannya, ahli keluarga Azeem meraikan ulang tahun kelahiran bapanbya Mohd Fahmi, di KLIA.
Dari KLIA, Azeem menaiki penerbangan bersendirian akan transit di Doha selama 16 jam sebelum meneruskan perjalanan ke AS.