MUHAMMAD Azeem Fahmi, masih ada masa untuk menyerlah meskipun gagal ke separuh akhir Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary.
Beraksi kali pertama di kejohanan itu, pasti menjadi satu lembaran baharu yang panjang dan lebih banyak kejohanan besar menanti pelari muda negara berusia 19 tahun itu.
Jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah yang mengiringi Azeem ke Budapest berkata, berdasarkan pemerhatiannya, Azeem menunjukkan konsistensi dan itu satu perkembangan yang baik.
Muhammad Azeem Fahmi di Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary. -Pix Agency“Banyak pengalaman dan pengajaran yang boleh diambil iktibar Azeem untuk diperbaiki dari segi larian dan catatan masa pada kejohanan akan datang.
“Azeem sudah buat yang terbaik dan peluang berlari bersama atlet bertaraf dunia bukan sesuatu yang mudah diperoleh.
“Apa yang penting sekarang, Azeem perlu mendapatkan semula keyakinan diri agar mendapat kembali rentak larian yang lebih baik,” katanya.
Azeem yang kini memegang rekod kebangsaan 10.09 saat (s), beraksi atas tiket wild card, mengesahkan tempat ke pusingan pertama selepas mengungguli saringan kedua pusingan kelayakan dengan catatan 10.24s.
Namun, pada pusingan pertama itu, Azeem menamatkan saringan keempat di kedudukan ketujuh dengan catatan 10.26s pada aksi yang berlangsung di Stadium Olahraga Nasional.
Acara 100m itu dimenangi Noah Lyles yang merekodkan 9.83s menumpaskan atlet Botswana, Letsile Tebogo, 20, di tempat 9.88s, manakala pelari Britain, Zharnel Hughes di tempat ketiga, 9.88s.
Azeem berpeluang untuk menebus kekecewaannya apabila beraksi di Sukan Asia Hangzhou di China yang akan berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober.
Pelari berusia 19 tahun itu akan menyertai dua acara di Hangzhou iaitu 100m dan 4x100m.