PELARI pecut kebangsaan Mohammmad Azeem Mohd Fahmi sememangnya tidak patut menyertai Sukan Sea Kemboja.
Bekas pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m), Watson Nyambek berkata, kepantasan dicapai Azeem ketika ini tidak seharusnya diperkecil sehingga mahu membawa pelari berusia 19 tahun itu menyertai temasya pada tahap Asia Tenggara sahaja.
“KOM (Kosatuan Olahraga Malaysia) nak ambil dia dari AS (Amerika Syarikat) untuk beraksi di Sukan Sea semata-mata mahu capai 10 emas… saya rasa tidak berbaloi.
“Malah catatan dilakukan Azeem seperti ditunjukkan di AS ketika ini, dia bukan lagi atlet bertaraf Sukan Sea.
“Jika dia dalam perancangan ke Sukan Asia, saya setuju kerana saingannya sudah di tahap benua Asia, bersaing dengan pelari China dan Jepun,” kata Watson yang kini bertugas sebagai jurulatih Majis Sukan Negeri Sarawak.
Azeem dua kali memecahkan rekod kebangsaan acara 60m dalam dewan. Kali pertama dia melakukannya Januari lalu ketika mengatasi rekod 24 tahun milik Watson 6.66 saat (s) dengan rekod baharu di Kejohanan Texas Tech 6.63s, sebelum melakukannya kali kedua di Kejohanan Tigar Paw Invitational dengan catatan 6.62s awal bukan ini.
Beliau memberi contoh pelari pecut berusia 22 tahun Indonesia, Lalu Muhammad Zohri yang tidak lagi beraksi di Sukan Sea, sebaliknya fokus kepada Sukan Asia.
“Dia patut ke Sukan Asia, jika berlari di Sukan Sea, umpama dia berlari di Kejohanan Sekolah-Sekolah Asean,” katanya.
Pada 12 Februari lalu, FLASH SUKAN melaporkan Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim mahu menerbangkan Azeem dari AS untuk beraksi di Sukan Sea Kemboja, dalam usaha memburu sekurang-kurangnya dua pingat emas bagi acara 100m dan 200m.
Artikel Berkaitan: Azeem Fahmi akan berlari dan diterbangkan khas dari Alabama ke Sukan Sea Kemboja ?
Semalam sebuah akhbar melaporkan, bapa Azeem, Mohd Fahmi Tajuid sudah menjelaskan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Wira Mark Ling, bahawa Azeem tidak dapat beraksi di Phnom Penh.
Dilaporkan bahawa Azeem perlu fokus kepada program latihan dan kejohanan yang sudah diatur Universiti Auburn, di AS.
“Azeem akan melalui fasa pertama kejohanan luar dewan yang menjadi medan kelayakan untuk beraksi di NCAA (Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan AS),” kata Fahmi, dalam kenyataan yang disiarkan Berita Harian.
The Ninja 🥷#WarEagle pic.twitter.com/k8HyuyMzze
— Auburn Track & Field (@AuburnTFXC) February 15, 2023
Sementara itu, Watson yang dihubungi FLASH SUKAN berkata, masih ramai pelari pecut berbakat dalam negara dan KOM seharusnya memberi tumpuan mempersiapkan atlet yang ada.
“Dalam negara masih ada Haiqal (Muhammad Haiqal Hanafi) dan beberapa lagi. Lebih baik bermula dari sekarang, KOM menghantar mereka menjalani latihan di luar negara.
“Gunakan tempoh dua hingga tiga bulan yang ada sediakan atlet berlatih di luar negara dan menyertai mana-mana pertandingan antarabangsa yang ada,” kata Watson.
Mengakui mengikut perkembangan Azeem sejak usianya 16 tahun lagi, Watson berkata, dia juga bersemangat mahu mencari bakat yang hebat di Sarawak, namun agak sukar kerana program di Sarawak tidak seperti di Semenanjung dan Sabah.