KEJOHANAN Olahraga Asia di Bangkok, menjadi sasaran untuk jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi, mencari tiket untuk melayakkan diri secara merit ke Kejohanan Dunia 2023, di Budapest, Hungary, Ogos depan.
Atlet berusia 19 tahun itu berkata, atas alasan itulah jurulatihnya, Ken Harnden diterbangkan khas dari Amerika Syarikat (AS) bagi membantunya mencapai catatan masa yang baik ketika Azeem mewakili negara buat kali pertama sejak menyambung pelajaran di Universiti Auburn, AS, Januari lalu.
“Sebenarnya kami di sini untuk mendapatkan kelayakan secara merit ke kejohanan dunia.
“Jika saya berjaya melakukan catatan di bawah 10 saat (s) di sini, adalah lebih baik kerana dapat layak ke Olimpik Paris 2024 lebih awal.
“Tetapi itu hanya congakan dan perbincangan dengan jurulatih saya dan saya ambil berat hal ini namun dalam masa sama, setidak-tidaknya saya melakukan catatan 10.20s ke bawah dan mengekalkan catatan itu di kejohanan-kejohanan berikutnya,” kata Azeem, ditemui di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), ketika bertolak ke Bangkok, bagi menghadapi kejohanan asia itu yang akan berlangsung pada 12 hingga 16 Julai ini.
Selain itu, Azeem berkata, kehadiran Harnden juga pasti dapat memberi input berguna kepada pasukan olahraga negara bertanding di peringkat antarabangsa.
Tambahnya, dia tidak mahu meletakkan tekanan ke atas dirinya memandangkan sudah lama tidak beraksi mewakili negara.
“Saya tahu di mana saya berada sekarang dan InsyaAllah… akan cuba terbaik untuk sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan di kedudukan podium.
“Sekarang saya berada di ranking nombor 4 dunia dan kejohanan ini yang terbesar untuk benua Asia, jadi siapa pelari saya temui di kejohanan ini adalah orang yang sama akan berlari di Sukan Asia nanti.
“Kejohanan ini menjadi penanda aras kepada saya dan saya kini berada dalam kedudukan empat terbaik Asia, tiga lagi pelari di atas saya adalah pelari senior.
“Saya sangat yakin dengan diri saya dan cuba mengelak daripada mengalami kecederaan.”
Sekiranya berjaya melakukan catatan di bawah 10 saat, Azeem akan turut layak secara merit ke Olimpik Paris 2024.
Azeem yang menjadikan pangkalan latihan di AS, mencatat masa terbaik 10.11s di Kejohanan SEC Outdoors 2023, catatan terbaiknya yang diiktiraf musim ini.
Catatan itu semakin hampir dengan rekod kebangsaan 100m miliknya, 10.09s yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Columbia.