JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak menganggap laluan ke Sukan Olimpik Paris menggunakan tiket wild card, sebagai alasan untuk merendah diri dan beraksi ala kadar dalam acara 100 meter (m) di kejohanan tertinggi dunia itu.
Sebaliknya berasakan, peluang antara semua atlet yang bertanding tetap seimbang dan prestasi pada hari perlumbaan menjadi penentu, sejauh mana kemampuan perjalanannya.
Azeem, 20, berkata, berlari sebaris jaguh pecut dunia pada Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Hangzhou tahun lalu, memberi keyakinan kepada dirinya untuk tidak gugup di garisan mula.
“Saya sudah berlari di Kejohanan Dunia (Hungary), Sukan Asia (Hangzhou)… saya berlari bersama antara pelari pecut terpantas dunia. Bagi saya, pada tahap ini, semuanya ada peluang sama rata.
“Ia lebih kepada siapa yang boleh pamerkan prestasi terbaik pada hari pertandingan.
“Macam saya lari di Kejohanan Dunia pun ada ramai atlet yang lari sekitar 9 saat (s) dalam saringan saya dan pada masa yang sama ada juga yang buat 10.2s, saya juga buat 10.2s masa itu.
“Jadi, seperti yang saya katakan, ia bergantung kepada apa yang anda rasa pada hari pertandingan, sejauh mana tahap keyakinan anda dan tahap keselesaan anda pada hari itu,” kata Azeem.
Azeem adalah pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia pada Ogos 2022.
Untuk rekod, Azeem turut diberikan tiket wild card tahun lalu, untuk beraksi di Kejohanan Dunia dan berjaya mencatat masa 10.24s di pusingan kelayakan namun lariannya 10.26s yang dilakukan pada pusingan pertama, gagal melayakkannya ke separuh akhir.
Bagaimanapun, Azeem yang berpangkalan di Amerika Syarikat berjaya menebus kekecewaan itu dengan memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou dan merekod masa 10.11s.