PELARI pecut sensasi negara mungkin bertanding di Sukan Sea Kemboja, 5 hingga 17 Mei depan.
Mungkin atau mustahil perkara ini berlaku, semuanya bergantung kepada usaha Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim, yang mahu ‘menerbangkan’ Muhammad Azeem Mohd Fahmi dari Amerika Syarikat (AS), dalam usaha memburu pingat emas di Phnom Penh nanti.
Menurut Shahidan, Azeem yang kini menjalani latihan dan melanjutkan pelajaran di Universiti Auburn, AS, berpotensi memenangi pingat emas acara riben biru, 100 meter (m) berbekalkan rekod kebangsaan 10.09 saat (s) yang dicatatkan atlet terbabit tahun lalu.
“Berdasarkan rekod itu, dia wajar mewakili negara untuk Sukan Sea. Namun, masalahnya sekarang dia juga terikat dengan komitmen kejohanan bersama universitinya ketika Sukan Sea berlangsung.
“Jadi, kita berusaha untuk membolehkan dia datang terus dari sana (AS) dan bertanding di Kemboja dan selepas itu kita hantar dia pulang.
“Kalau dia tidak dapat bertanding, rugilah untuk dia mencipta rekod kejohanan yang cukup penting di Asia Tenggara, kalau tidak dia kena tunggu Sukan Asia,” kata Shahidan.
Azeem ketika ini berkongsi catatan terbaik dengan pelari pecut Thailand, Puripol Boonson yang turut melakukan 10.09s ketika Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, Ogos tahun lalu.
Puripol adalah pemenang pingat emas bagi acara 100m dan 200m pada Sukan Sea Hanoi, tahun lalu, sedangkan larian Azeem dibatalkan pada grid permulaan acara saringan, satu keputusan kontroversi yang membuatkan pelari muda dari Perak itu kecewa.
Dalam pada itu, Shahidan memberitahu KOM kekal menyasarkan 10 emas di Sukan Sea Kemboja dan akan mempertaruhkan atlet senior bagi mencapai sasaran berkenaan biarpun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini menggesa persatuan menyenaraikan atlet muda bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.
“Kami mahukan pingat. Jika kami kurang mendapat pingat, orang ramai akan menyalahkan kami. Untuk memenangi pingat, kami perlu menghantar atlet terbaik.
“Saya tahu mengenai media dan orang ramai. Jika kami tidak mendapat pingat, mereka tidak akan menulis tentang pendedahan, sebaliknya apa yang akan diketengahkan ialah kegagalan KOM melakukan itu dan ini.
“Jika pasukan dihantar untuk pendedahan, maka kami tidak harus dipersalahkan apabila mereka tidak mendapat pingat. Jadi, adakah Sukan Sea untuk pendedahan? Tidak, anda berada di sana untuk menang,” katanya.