PEMEGANG rekod kebangsaan 100 meter (m) lelaki, Muhammad Azeem Fahmi, belum cukup pantas untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Olahraga Dunia 2023 di Budapest, Hungary, apabila menamatkan perlumbaan saraingan keempat, pusingan pertama, di kedudukan ketujuh.

Azeem, 19, dilihat belum berada di kemuncak prestasi pada aksi di Stadium Olahraga Nasional itu, namun menunjukkan konsistensi apabila berlari pada kelajuan hampir sama dengan pusingan kelayakan.

Dia yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) merakam 10.26s pada larian terakhirnya di Budapest, tewas kepada juara remaja dunia, Letsile Tebogo dari Botswana (10.11s), Rohan Browning (Australia, 10.11s) dan Reece Prescod (Great Britain, 10.14s) di tempat pertama hingga ketiga.

Muhammad Azeem Fahmi mencatat masa 10.24s do pusingan kelayakan manakala 10.26s pada pusingan pertama Kejohanan Olahraga Dunia, Budapest, Hungary. -Pix Agency

Rakan sepasukan Azeem di Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS), Favour Ashe dari Nigeria pula dibatalkan kerana melakukan false start.

Azeem menerusi hantaran di aplikasi X berkata, “This is not the end, my first World Championship is one to remember, to many more in sha Allah! Alhamdulillah.”

Biarpun gagal ke separuh akhir, berlari di Kejohanan Olahraga Dunia pasti menjadi pengalaman berharga buat Azeem dalam misi menjadi pelari Malaysia dan Asia Tenggara pertama mencatat masa bawah 10s, sekali gus melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelari dari Teluk Intan, Perak itu bagaimanapun masih ada peluang menebus kehampaan, dengan memburu pingat di Sukan Asia Hangzhou, China, 23 September hingga 8 Oktober depan.