PERBURUAN masa kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024, bagaikan semakin jauh buat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, apabila sekadar mencatat 10.50 saat (s) pada Kejohanan Kelayakan NCAA (Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan Amerika Syarikat) di Lexington, Kentucky, awal pagi Khamis.

Pelari berusia 20 tahun itu menamatkan perlumbaan acara 100 meter (m) itu pada kedudukan keenam dalam saringan keenam.

Catatan itu menyaksikan Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s menduduki tempat ke-32 keseluruhan dalam kalangan 47 peserta dan gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Azeem yang mewakili Universiti Auburn ternyata kecewa dengan prestasinya dalam saingan musim ini, tetapi nekad untuk kembali bangkit dalam kejohanan seterusnya.

“Satu musim yang cukup mengecewakan setakat ini tetapi tidak mengapa kerana ini adalah proses pembelajaran dan saya enggan mengaku kalah. Alhamdulillah atas apa yang berlaku,” kata Azeem menerusi ciapan di laman X miliknya.

Saringan keenam diungguli pelari Florida Gators, Wanya Mccoy dengan catatan 10.29s diikuti pelari Louisiana State University (LSU), Myles Thomas kedua (10.42s) dan Antonio Laidler dari Indiana University ketiga (10.43s).

Azeem akan meneruskan pemburuan tiket ke Olimpik Paris menerusi Kejohanan NCAA di Eugene Orlando (5 hingga 8 Jun) sebelum kembali ke tanah air menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia dari 14 hingga 16 Jun.

Atlet perlu mencatat masa 10s untuk layak secara automatik ke Olimpik Paris.

Sekiranya Azeem gagal melakukan catatan 10s, dia masih berpeluang ke Olimpik menerusi kedudukan ranking.

Dia ketika ini berada di kedudukan ke-55 ranking kelayakan ke Paris dengan dia perlu berada dalam kelompok 56 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan hujung bulan depan.