JAGUH pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd Fahmi menjuarai kejohanan luar dewan pertama di Amerika Syarikat, apabila memenangi acara 100 meter (m) di Kejohanan Florida State University (FSU) Relays, awal pagi Sabtu.

Azeem yang mewakili Universiti Auburn itu menamatkan perlumbaan denagn catatan 10.32 saat (s) sekali gus mengatasi sembilan pelumba lain pada acara yang berlangsung di Mike Long Track, Tallahassee, Florida.

Atlet berusia 19 tahun itu membuat debut pada kejohanan luar dewan minggu ini, selepas tiga penampilan pada acara dalam dewan 60m sebelum ini.

Pada perlumbaan terbabit, Andre Ewers muncul naib juara dengan catatan 10.49s manakala tempat ketiga dimenangi Trei Thorogood dengan catatan 10.51s dari Universiti Syracuse.

Sejak tiba di AS, Azeem memecah rekod kebangsaan pecut 60m dalam dewan sebanyak dua kali.