HARI INI menjadi langkahan penting buat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi kerana bakal memulakan pemburuan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) itu akan mula menyertai kejohanan luar dewan pertama musim ini, apabila beraksi di Kejohanan Olahraga Yellow Jacket Invite di Georgia Tech, Atlanta, Amerika Syarikat.

Penuntut Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat (AS) itu berkata, setiap peluang yang ada mahu dimanfaatkan sebaiknya peluang apabila kejohanan terbabit menjadi satu-satunya kejohanan yang akan disertainya sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, dia akan kembali menyertai kejohanan selepas Hari Raya Aidilfitri pada 10 April depan.

Azeem berteriak… bagaikan tidak mempercayai dia menaiki podium di Sukan Asia Hangzhou, tahun lalu.

“Perancangan dengan jurulatih Ken (Harnden) sekarang adalah sertai satu kejohanan pada awal Ramadan kerana kondisi badan saya masih segar.

“Selepas itu saya akan berehat kerana mahu menghormati sepenuhnya bulan Ramadan. Jangan salah faham, saya cuma berehat daripada kejohanan, tetapi tetap berlatih di waktu pagi.

“Saya sudah biasa, lagipun ini tahun ketiga saya tidak dapat berpuasa di Malaysia, apatah lagi nak beraya dengan keluarga. Ini pengorbanan demi menggapai impian saya ke Olimpik,” kata pemilik catatan 10.09 saat (s) kebangsaan 100m itu.

Walaupun terlepas empat kejohanan pada bulan Ramadan ini, tetapi pemenang pingat gangsa 100m Sukan Asia Hangzhou 2022 itu masih mempunyai tujuh kejohanan untuk disertai termasuk Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2024 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jun depan.

Muhammad Azeem Fahmi hanya akan menyertai satu kejohanan di sepanjang Ramadhan ini.

“Saya akan balik Malaysia untuk sertai kejohanan kebangsaan. Saya perlu menang kerana dapat banyak mata sebagai juara kebangsaan untuk membantu kedudukan ranking dunia.

“Katakan saya masih belum layak ke Olimpik Paris, kejohanan itu akan menjadi peluang terakhir saya. Seandainya layak, saya akan pulang ke AS dan seterusnya ke Jerman untuk kem latihan sebelum terus ke Paris nanti,” katanya.