PELARI pecut negara yang mendapat julukan nama ‘Usain Bolt Malaysia’, Muhammad Azeem Fahmi mengharungi minggu yang cukup cemerlang.
Dia berjaya memecahkan rekod 100 meter kebangsaan dengan catatan 10.09s pada peringkat saringan Kejohanan Dunia Bawah-20 di Cali, Colombia dan seterusnya layak ke separuh akhir.
Anak kelahiran Perak itu memadamkan rekod dipegang Khairul Hafiz Jantan sejak tahun 2016, 10.18s.
Malah, catatan Azeem juga merupakan catatan kedua terpantas daripada 60 penyertaan atlet dalam acara 100m di kejohanan ini.
High speed Muhd: 🔛
18-year-old Muhd Azeem Fahmi 🇲🇾 destroys the Malaysian 100m (SENIOR ‼️) record with 10.09 and advances to the semis.#WorldAthleticsU20 pic.twitter.com/RuEIYi6tRu
— World Athletics (@WorldAthletics) August 1, 2022
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut memuji persembahan bertenaga pelari yang baru berusia 18 tahun itu.
“Tahniah Azeem!! 10.09s!! Hebat!!
“Banyak lagi yang akan datang, In Shaa Allah. Pastikan kaki anda di atas tanah, berlari sepantas yang anda boleh dan cuba mencapai bintang.
“Malaysia Boleh!! Tahniah Fahmi!! Anak kau memang hebat!! Sekarang, fokus pada larian seterusnya,” katanya.
FLASH SUKAN sentiasa mendoakan Azeem dapat ke final dan membawa pulang pingat emas dan mungkin menjadi pelari Malaysia pertama dengan catatan bawah 10s.
Saingan separuh akhir dijadualkan bermula pada 4.40 pagi esok.