MUNGKINKAH Muhammad Azeem Mohd Fahmi boleh menjadi prospek penyumbang pingat emas negara di Sukan Olimpik, pada masa akan datang?

Tiada siapa boleh meneka namun tiada yang mustahil, dan harapan sama disuarakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika memberi respon kepada pencapaian pelari pecut dari Perak yang mencatat keputusan sensasi di kejohanan dalam dewan, Tiger Paw, South Carolina, Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi.

Azeem, 18, membaharui rekod kebangsaan acara 60 meter (m) dengan catatan 6.62 saat (s) mengatasi rekod miliknya 6.63s yang dilakukan di Texas Tech Januari lalu, ketika dia memadam rekod 24 tahun milik Watson Nyamber (6.66s) yang dilakukan pada 1999 di Kejohanan Dunia Maebashi, Jepun.

Azeem Fahmi melanjutkan pelajaran di Universiti Auburn, AS, berpeluang berlatih di bawah kepakaran acara pecut, selain mendapat peluang menyertai banyak kejohanan yang tidak mungkin ada dalam Malaysia. -Pix Auburn Track&Field

“Saya sangat bangga dengan pencapaian berkenaan. Azeem adalah bintang meningkat naik dan diharapkan suatu hari nanti, dia boleh memberikan kita pingat emas di Sukan Olimpik,” kata Hannah ketika ditemui di Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) di Stadium Mini MSN Bukit Jalil.

Mewakili Universiti Aurburn, Azeem mempamerkan peningkatan prestasi biarpun kurang dua bulan ‘berguru’ di AS, apabila menamatkan saingan di tempat kelima pada aksi final Kejohanan Jemputan Tiger Paw di University Clemson di South Carolina.

Azeem turut memegang rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Cali, Colombia, Ogos tahun lalu.

Hannah Yeoh menyampaikan hadiah kemenangan kepada atlet di Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) di Stadium Mini MSN Bukit Jalil.

Jika dibandingkan catatan 100m Azeem itu dengan pemenang emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Marcell Jacobs dari Itali dengan catatan 9.80s, jelas masih ketinggalan tetapi jika pelari berasal dari Ipoh, Perak itu terus bekerja keras, ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dia pada peringkat awal melakukan catatan bawah 10s seperti mana yang diimpikannya.

Hannah berkata, pihaknya berusaha mendapatkan peruntukan mencukupi menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini, bagi memastikan lebih banyak kejohanan dapat dianjurkan untuk atlet negara seperti mana yang dilakukan KOM.

“Hari ini saya datang untuk melihat sendiri kejohanan ini. Ini adalah sesuatu yang kita perlukan, apabila lebih banyak kejohanan dianjurkan, ia boleh membantu kita mengenal pasti bakat-bakat baharu.

“Selain itu, atlet juga boleh menilai prestasi dan memperbaiki ranking mereka. Ini adalah sesuatu yang saya sedang usahakan menjelang bajet kali ini. Untuk pastikan, kita sentiasa mempunyai peruntukkan yang cukup untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan.

“Ketika sesi ‘townhall’ bersama atlet, inilah yang mereka perkatakan, mereka hanya mahukan lebih banyak kejohanan untuk memperbaiki ranking mereka,” kata Hannah.