JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mengakui sukar untuk melakukan catatan bawah 10 saat dalam acara 100 meter (m) di kejohanan olahraga Terbuka Malaysia hujung minggu ini, namun ianya bukanlah perkara yang mustahil jika prestasi semasanya ketika membantu Universiti Auburn memenangi pingat emas 4x100m pada Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Oregon, Amerika syarikat (AS) Sabtu lalu, menjadi ukuran.
Menurut Azeem, catatan 38.03 saat (s) yang dicipta kuartet 4x100m Universiti Auburn bersama rakan sepasukan, Kayinsola Ajayi, Dario Matau dan Makanakaishe Charamba itu, menjadi rekod keempat terpantas dunia tahun ini, sekali gus menggambarkan bahawa dia dan rakan-rakannya sudah melakukan larian bawah 10 saat (s).
“Catatan yang kami lakukan 38.03s itu sebenarnya salah satu yang terpantas dunia tahun ini dan jika dikira secara purata, untuk mendapatkan catatan itu, setiap atlet berlari di bawah 10.01s.
“Jadi apabila kami berlari dengan catatan itu, saya percaya kami semua berlari dengan cemerlang termasuk diri sendiri… dan saya rasa perlu membawa momentum daripada minggu lalu ke minggu ini.
“Saya perlu amat pasti dan yakin catatan minggu lalu itu menunjukkan kemampuan untuk melakukannya,” kata Azeem ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), sejurus tiba dari AS.
Pelari berusia 20 tahun itu perlu melakukan catatan 10.0s untuk melayakkan diri secara metir ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Azeem kembali ke tanah air untuk menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, Jumaat hingga Ahad ini.
Berdasarkan kiraan matematik, catatan 38.03s itu jika dibahagikan kepada empat pelari, setiap individu melakukan catatan 9.5s.
“Hujung minggu ini tetap cabaran terbesar, ramai yang harapkan saya lakukan yang terbaik, bukan orang lain saja saya sendiri nak capai yang terbaik hujung minggu ini di Kuantan.
“Saya baru habis NCAA di AS, balik menaiki penerbangan yang bertolak pada hari Isnin dan tiba pada hari Rabu.
“Saya lakukan yang terbaik, cuba dapatkan rehat secukupnya dalam penerbangan,” kata Azeem.
Untuk rekod, catatan terbaik Azeem tahun ini adalah 10.24s yang dilakukan pada kejohanan di Los Angeles pada 27 April lalu, namun dengan bantuan angin.
Azeem mempunyai catatan peribadi terbaik 10.09s yang juga rekod kebangsaan, yang dilakukannya pada Kejohanan Dunia bawah 20 tahun (B-20) di Cali, Columbia pada Ogos, 2022.