KETIKA had kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 10.0 saat (s) seakan sukar untuk dicapai, jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi sedar, dia masih mampu menggunakan laluan kedua untuk layak secara merit, iaitu menerusi kedudukan ranking dunia.

Pelari berusia 20 tahun yang kembali ke tanah air semalam, untuk memburu masa kelayakan ke Paris di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang berlangsung di Kuantan, Pahang bermula esok itu berkata, pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah membuat congakan mengenai peluangnya itu.

Katanya, jika gagal mencatat masa 10.0s, Azeem hendaklah mengumpul mata ranking untuk menempatkan diri dalam kelompok 56 pelari terbaik senarai kelayakan ke Paris.

Muhammad Azeem Fahmi yakin mampu ke Paris secara merit.

“Perancangan ketika ini untuk ke Paris adalah melalui dua cara, ranking dunia ataupun had masa kelayakan.

“Jadi bagi saya, jurulatih dan seluruh pasukan MSN sudah membuat perkiraan mengenai nasib saya di Terbuka Malaysia hujung minggu ini.

“Saya hendaklah memenangi perlumbaan 100 meter (m) dengan catatan sekurang-kurangnya 10.25s,” kata Azeem, mengulas mengenai peluangnya ke Temasya Paris.

Ujarnya, jika memenangi dan mencatat masa 10.25s atau lebih pantas di Kuantan, kedudukan ranking dunianya akan melonjak ke kedudukan ke-45, sekali gus berada dalam kelompok 56 terbaik.

Berdasarkan kedudukan semasa, ranking kelayakan ke Paris bagi acara 100m lelaki menyaksikan, Azeem kini di tangga ke-64.

Pelari berasal dari Perak itu mengakui, dia akan menempuh musim panas yang sibuk dengan perancangan.

Nampak peluang Muhammad Azeem  Fahmi ke Olimpik agak jauh, namun dia hanya memerlukan langkahan yang tepat untuk mencipta sejarah.

“Minggu ini saya akan berlumba di Kuantan, Pahang, minggu hadapan pula akan ke Terbuka Kazakhstan sebelum menyertai kontinjen universiti Malaysia ke Sukan Universiti Asean University Games (AUG) di Surabaya, Indonesia.

“Kita tak nak begitu selesa jika berjaya di Terbuka Malaysia. KOM dan MSN berasakan lebih elok untuk saya ke Kazakhstan untuk memungut mata tambahan.

“Jika boleh tingkatkan catatan masa, ranking dunia saya akan naik dan lebih selamat untuk saya layak,” tambah Azeem.

Minggu lalu, Azeem melakukan larian pantas ketika membantu kuartet 4x100m Universiti Auburn merakam catatan 38.03s, iaitu masa kelima terpantas acara dunia tahun ini, di belakang Kanada di kedudukan keempat (37.89s), Itali di kedudukan ketiga (37.82s), Gainesville Elite (37.67s) dan kuartet Amerika Syarikat (37.40s) di keududukan pertama.

Untuk rekod, tiga rakan sepelatih Azeem di Universiti Auburn sudah layak ke Paris dan Azeem akan menyertai tiga pelari terbabit menjalani latihan pusat di Eropah, selepas berakhir AUG.