JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mara ke separuh akhir 100 meter (m) Sukan Asia Hangzhou, setelah mengungguli saringan ketiga.
Beraksi di Stadium Olimpik Hangzhou, Azeem tampak bersahaja tanpa perlu memerah keringat untuk menguasai acara itu dengan catatan 10.28 saat (s).
Tempat kedua dalam saringan itu dimenangi Hassan Taftian dengan catatan 10.42s manakala atlet dari Oman, Ali Anwar Ali Al Balushi, ketiga, 10.47s.
Azeem ketika ditemui berkata, sasaran utama adalah untuk layak ke final dan membuktikan kepada persaingnya, iaitu Hassan bahawa siapa yang lebih baik kali ini di Sukan Asia.
“Ini amaran saya kepada Hassan (Taftian) dari Iran. Dia selalu bermain psikologi dengan saya sejak Kejohanan Dunia dan juga ATF (Kejohanan Olahraga Asia).
“Hari ini, saya buktikan kepada dia, dia sudah berusia, sudah masa untuk dia bersara,” katanya.
Azeem bagaimanapun perlu lebih berwaspada apabila turun beraksi di separuh akhir apabila seteru utamanya dari Thailand, Puripol Boonson turut layak keseparuh akhir selepas merekodkan masa 10.13s pada saringan keempat.