DUA atau tiga minggu sebelum hadir ke bumi Hangzhou, pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi telah menyelesaikan segala urusan berkaitan urusan pengajiannya di Universiti Auburn, Amerika Syarikat.

Dedah bapanya, Mohd Fahmi Tajuid ketika dihubungi FLASH SUKAN, Azeem berlari dalam keadaan tenang dan tiada kekusutan sebelum berjaya menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen Malaysia dalam acara akhir riben biru 100 meter malam tadi.

Dalam final itu, Azeem mengakhiri penantian 41 tahun pingat acara 100 meter lelaki Sukan Asia, apabila berjaya menaiki podium selepas muncul ketiga melintasi garisan penamat pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022.

Dia menamatkan larian dengan catatan 10.11 saat (s) di belakang pemenang emas dari China, Xie Zhengye (9.97s) dan pelari Thailand, Puripol Boonson perak (10.02s).

“Pertama Alhamdulillah syukur Azeem mencapai objektif selepas membuat pengorbanan besar dalam membahagikan masa antara belajar dan bidang sukan.

“Kejohanan di China adalah musim terakhir Azeem bagi tahun ini sebelum bermulanya musim baharu nanti.

“Azeem ada cakap kepada kami bahawa dia nak sangat tutup musim ini dan bagi pingat tanpa kira warna kepada keluarga. Malah, dia juga menyasarkan pingat acara 100 meter sebab tak pernah menang secara individu di peringat senior. Ada pun dahulu di peringkat Majlis Sukan-Sukan Negeri.

“Di Sukan Sea baru-baru ini dia dapat pingat acara berganti-ganti. Kali ini, Azeem dapat hasil kerja keras dilakukannya hasil bimbingan jurulatih di AS (Ken Harnden) dan di sini (Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah). Terima kasih semua pihak yang menyokong Azeem sehingga berada pada tahap sekarang,” kata Fahmi yang juga Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah PPD (Pembelajaran), Bagan Datuk, Perak.

ARTIKEL BERKAITAN : Azeem pelari ketiga terpantas Asia, raih pingat selepas 41 tahun