PELARI pecut sensasi negara, Azeem Fahmi mahu membuktikan dirinya lebih baik daripada dua pencabar terdekat, Puripol Boonson dari Thailand dan Hiroki Yanagita dari Jepun apabila berentap di Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September.

Meskipun sedar dengan kehebatan kedua-dua pelari itu, namun dia percaya dia mampu untuk bersaing sekaligus merebut pingat dalam temasya sukan terbesar Asia itu.

“Kami telah bersaing pada kejohanan di Cali, Colombia tahun lepas dimana Puripol menamatkan saingan di tempat keempat, saya kelima dan Yanagita keenam, jadi saya sangat yakin akan bertemu kembali mereka di Sukan Asia,” katanya ketika ditemui di sesi ‘Meet and Greet’ di Putrajaya.

Azeem turut mengakui dia kini lebih berhati-hati ketika permulaan larian kerana masih terkesan dengan ‘false start’ yang dialaminya di Sukan Sea Hanoi yang menyaksikan dia tersingkir dan tidak dapat menyumbang pingat buat negara.

“Saya agak berhati-hati ketika melakukan permulaan menyebabkan ‘starting’ saya lebih perlahan dari biasa. Kita buat kesilapan dan belajar dari kesilapan dan saya mahu lakukan yang lebih baik selepas ini,” jelasnya.

Azeem, 19 adalah pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter dengan catatan masa 10.09 saat dan meletakkan sasaran 10.15 saat apabila turun berlari di Kejohanan Atletik Dunia di Budapest, Hungary pada Ogos.