JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi akan menjalani latihan lebih agresif bermula minggu hadapan, dengan penumpuan khusus kepada transisi dan penamat.
Atlet berusia 20 tahun itu berkata, persediaannya untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 sudahpun bermula dengan perbincangan bersama pasukan Institut Sukan Negara (ISN).
“Saya sudah duduk bersama bersama ISN bersama jurulatih, Pengarah Kejurulatihan (TD) Robert J Ballard, kami merancang apa perlu dilakukan menjelang Olimpik.
“Minggu hadapan saya akan jalani latihan lebih spesifik, latihan lebih agresif… kita akan melihat analisis bio mekanik, analisis prestasi.
“Kami akan melihat kelemahan dan kekurangan saya dalam perlumbaan yang saya sertai,” kata Azeem, ditemui selepas menerima kunjungan ketua kontinjen negara ke Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin di MSN.
Katanya, analisis perlumbaan sebelum ini akan dibincangkan pada Isnin, terutamanya melihat bagaimana transisinya dalam perlumbaan, baik pada 20 meter (m), 60m pertama.
Azeem turut mengesahkan bahawa dia tidak akan menyertai empat lagi rakan Universiti Auburn yang layak beraksi di Olimpik Paris, menjalani latihan di Eropah.
“Sepatutnya hari ini saya berlepas ke Eropah tetapi saya berasakan lebih baik saya menjalani latihan di sini.
“Jurulatih saya Ken (Harnden) akan berada di Paris, malah kami di sini terutamanya Ballard sering berkomunikasi dengannya,” tambah Azeem.
Azeem dijangka berlepas ke Paris pada 25 atau 26 Julai ini selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memuktamadkan perjalanan semua atlet.