PELARI pecut negara, Azeem Fahmi mencatat masa terbaik untuk 100m musim ini selepas merakamkan masa 10.31 saat dalam acara 100m di Kejohanan Olahraga Tiger Klasik, di Alabama.

Ia adalah penamat 1-2-3 untuk Azeem dan rakan sepasukan Auburn dalam saringan ini. Favor Ashe berlari 9.96 untuk memenangi perlumbaan manakala Kanyinsola Ajayi mencatat 10.14 untuk menduduki tempat kedua.

Masa yang dicatat itu menyaksikan Azeem menduduki tempat ketiga dalam saringan satu.

Azeem sedang berusaha untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Masa itu juga meletakkannya di kedudukan ranking ke-48 secara keseluruhan dalam Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) untuk acara 100m.

Tetapi masa itu jauh dari rekod kebangsaannya 10.09 dan masa kelayakan Olimpik Paris iaitu 10s.

Jurulatih pelapis negara, Amir Izwan berkata selepas Azeem menjalankan saringan satu, saringan kedua dan ketiga dibatalkan kerana hujan lebat.

Image

“Azeem telah menunjukkan kemajuan dalam setiap perlumbaan 100m yang dilarikannya. Bulan lepas Azeem berlari 10.44 kerana bulan puasa tetapi kemudian dia berlari 10.38 minggu lepas. Dan semalam Azeem mencatat 10.31.

“Dia perlahan-lahan tetapi pasti kembali ke prestasi dan momentumnya,” ujarnya.

Azeem berlari dalam perlumbaan 100m ketiganya tahun ini dalam usaha untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketika Jemputan Yellow Jacket di Atlanta pada 16 Mac, dia mencatatkan 10.38 untuk menduduki tempat ketiga.

Manakala, dalam Jemputan Memorial Tom Jones di Florida pada 13 April, dia mencatat masa perlahan 10.44 pada saringan kedua untuk menghuni tempat ketujuh.