WILD CARD diberikan untuk beraksi di Sukan Olimpik 2024 bukanlah tiket untuk makan angin, Muhammad Azeem Fahmi tidak mahu hanya sekali berlumba di sana, sebaliknya mensasarkan ke separuh akhir.

Pemilik rekod kebangsaan 100 meter (m) lelaki dengan catatan 10.09 saat (s) itu, turut membayangkan pentas Olimpik yang bakal membolehkannya berlari dengan jagoan dunia, menjadi peluang terbaik untuknya memperbaiki catatan semusim mahupun melebur rekod kebangsaan miliknya.

“Sudah lama kita tidak ada pelari pecut yang beraksi di pentas Olimpik. Jadi, dengan peluang diberikan pada usia 20 tahun ini, saya akan cuba yang terbaik untuk sekurang-kurangnya melangkah ke separuh akhir.

“Olimpik pentas yang besar, sudah tentu sekurang-kurangnya saya mahu meleburkan rekod kebangsaan ataupun melakukan catatan terbaik musim ini kerana saya percaya pada diri sendiri,” kata atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu.

Muhammad Azeem Fahmi meraih emas acara 200m di AUG 2024.

Rabu lalu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan tiket wild card ke Olimpik Paris diserah kepada Azeem selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet badan induk itu.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan penantian ratu 400m negara, Shereen Samson Vallabouy yang turut menjadi antara dua pilihan terakhir untuk wild card.

Azeem membantu kuartet 4x100m lelaki memenangi pingat emas AUG 2024.

“Ini satu motivasi untuk saya melakukan lebih baik, terutamanya dari segi latihan dan pemulihan. Ada kurang sebulan sahaja lagi ke Olimpik, jadi dalam tempoh singkat ini, saya akan fokus kepada penjagaan badan,” ujar Azeem.

Azeem yang beraksi di Sukan Universiti Asean menyumbang dua pingat emas dalam acara 200m dan 4x100m bersama Mohammad Thaqif Mohammad Hisham, Aliff Iman Mohd Fahimi dan Mohd Raimi Mustafa Kamal, selain satu pingat perak dalam acara 100m.