KETIKA berhati-hati mengelak daripada melakukan kesilapan pada grid permulaan semalam, insiden false start dialami pelari Thailand, langsung tidak mengganggu fokus jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi.

Menurutnya, kejadian false start pada Sukan SEA Hanoi masih menghantui.

“Saya akui kejadian false start di Sukan SEA Hanoi membuatkan saya lebih berhati-hati.

“Sebelum perlumbaan saya dapat bantuan dari (Robert) Ballard untuk membuat latihan tindak balas dan Alhamdullilah false start semalam tidak mengganggu fokus saya dan akhirnya saya dapat hadiahkan podium buat negara,” kata Azeem.

Azeem berteriak… bagaikan tidak mempercayai dia menaiki podium.

Pelari berusia 19 tahun itu mengakui Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard, membantu dirinya mengawal situasi untuk lebih tenang.

Mengulas mengenai pelari Thailand, Saraot Dapbang yang melakukan false start semalam (Sabtu), Azeem mengakui sudah menjangka saingannya itu akan berbuat demikian.

Pada Sabtu, penyertaan Soraoat dibatalkan kerana melakukan kesalahan false start dalam acara akhir 100 meter (m) yang berlangsung di Stadium Olimpik, Hangzhou.

“Sebelum lari, saya cuba kosongkan minda dan fikiran sebab saya menjangkakan ia akan menjadi satu perlumbaan sengit.

“Saya juga sudah bersedia dengan false start sebab saya tengok Soraoat dari call room tak buat apa-apa.

“Dia nampak sedih dan saya bertanggapan dia akan buat sesuatu sama ada false start atau berhenti berlari dan apa yang saya rasa itu memang betul,” katanya.

Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) diciptanya pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah-20 di Cali, Colombia itu berkata, fokusnya langsung tidak terjejas.

Dalam aksi final itu juga, atlet China, Xie Zhenye menyamai rekod peribadi terbaiknya iaitu 9.97s, meraih emas manakala pelari Thailand, Puripol Boonson merakam catatan peribadi terbaik dengan masa 10.02s untuk perak.

Sambil mengakui Puripol kini, pelari terpantas Asia Tenggara, pelari kelahiran Perak itu berazam untuk mengalahkan pesaingnya itu di masa depan.

Pingat gangsa dimenanginya semalam adalah pingat sulung Azeem di peringkat antarabangsa, selain menoktahkan penantian lebih empat dekad negara untuk penyudah podium dalam acara utama itu sejak Datuk Rabuan Pit memperoleh emas dalam edisi 1982 di New Delhi, India.