HASRAT Muhammad Azeem Fahmi melakar masa bawah 10 saat (s) belum tercapai di Kejohanan Olahraga Asia 2023, yang berlangsung di Bangkok, Thailand, selepas mencatat 10.25s pada final.

Muncul pelari kelima pantas selepas menamatkan saingan separuh akhir, Azeem berlari di lorong ketujuh, bermula baik di garisan permulaan.

Namun pelari Jepun, Hiroki Yanagita mempamerkan larian luar biasa apabila mengorak langkah pada 60 meter terakhir, jauh meninggalkan pelari lain sekali gus memenangi perlumbaan akhir dengan catatan masa 10.02s.

Hiroki Yanagita jauh meninggalkan kelompok pelari lain, untuk memenangi 100m lelaki final ATF2023.

Tempat kedua milik Mohammed Abdullah Abkar  dari Arab Saudi dengan catatan 10.19s, diikuti pelari Iran, Taftian Hassan, 10.23s.

Azeem kelima di belakang pelari Qatar, Femi Aeun Ogunode, dengan catatan masa yang sama, 10.25s.

Azeem merakam 10.25s pada saringan awal dan 10.35s di separuh akhir, kira-kira dua jam sebelum final.

Untuk rekod, catatan terbaik Azeem adalah 10.09s yang juga rekod kebangsaan yang dilakukannya pada Kejohanan Remaja Dunia di Cali, Columbia, Ogos tahun lalu.

Hasrat Muhammad Azeem Fahmi catat masa bawah 10s belum tercapai… masih ada masa untuk perbaiki kelemahan menjelang Sukan Asia Hangzhou, September nanti.

Dalam pada itu, wakil negara dalam acara 100m wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli terkandas di separuh akhir selepas melengkapkan saringan kedua separuh akhir di tempat kelima dengan catatan 11.67s.