KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif turut merasai debaran menjelang Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia yang bakal membuka tirainya pada 21 hingga 23 Oktober ini.

Selepas dua tahun tidak dianjurkan berikutan pandemik Covid-19, MotoGP Malaysia kembali dengan penuh bermakna bertemakan ‘Welcome Home’ dan yang menariknya ia bakal menjadi acara antarabangsa pertama Azhan selepas dilantik sebagai CEO SIC pada April 2020.

Apa yang pasti, tugas baharunya sebagai individu penting di SIC dalam tempoh pandemik itu antara cabaran besar yang perlu dihadapinya sehingga tahun ini namun semuanya berjalan seperti yang dirancang.

Jelas Azhan kepada FLASH SUKAN, bukan sesuatu yang mudah menerima tawaran ke SIC dalam tempoh Covid-19 baharu melanda.

“Ketika itu saya memang ada banyak ‘plan’..nak naikkan lagi jenama SIC yang sememangya sudah terkenal di peringkat dunia dengan penganjuran antarabangsa sejak 1999.

“Tetapi apa yang saya buat terlebih dahulu adalah ‘kemaskan rumah sendiri’ , fahami budaya kerja di kalangan staf-staf kerana bagi saya bukan mudah untuk mengubah individu dalam sesuatu perkara, lebih-lebih lagi cara bekerja.

“Itu antara cabaran selingan yang saya hadapi, tetapi saya gembira kerana semua pekerja berpengalaman dengan tugas masing-masing.

“Saya juga turut fokuskan dan faham apa DNA dan strategi SIC yang perlu saya beri perhatian. Jadi masa tu, saya susun balik apa yang sedang dilaksnakan kerana bukan mudah untuk menjaga litar seluas 303 hektar ini, penyelenggaraan fasiliti, pekerja dan sebagainya,” kongsinya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN.

Tambah Azhan, antara cabaran yang besar adalah bagaimana untuk naikkan nama baik SIC ini sebagai satu ikon negara yang boleh dibanggakan.

Perkara paling penting sekali adalah tukar ‘mind set’ orang bahawa SIC ini hanya untuk golongan elit sahaja. Jadi ini antara cabaran yang diberikan Kementerian Belia dan Sukan untuk ‘memarhaenkan’ sirkit.

“Jadi kami buka sirkit ini kepada orang ramai, mereka turun sendiri ke litar, rasai sendiri. Alhamdullilah, tahun ini banyak acara-acara yang dibuat di sirkit ini malah tempahan juga sudah penuh hingga hujung tahun,” ujarnya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Perikatan Strategik, Jabatan Penjenamaan Petronas ini turut berharap agar lebih banyak pihak swasta tampil memainkan peranan memberi sokongan dari segi dana.

“Kita akui MotoGP Malaysia ini tarikannya adalah pelumba-pelumba tempatan. Makin ramai pelumba yang terlibat, saya yakin makin baik sambutannya. Cuma buat masa sekarang sokongan dana pelumba hanya bergantung kepada kerajaan.

“Kalau boleh kita tidak mahu hanya bergantung kepada kerajaan, sebaliknya pihak swasta dapat tampil memberi sokongan kepada pelumba-pelumba tempatan. Kita mempunyai ramai pelumba yang berbakat, begitu juga dengan pelumba-pelumba pelapis.

“Dan untuk perlumbaan tahun ini kita ada pelumba negara Syarifuddin Azman (Damok) yang akan bersaing dalam kategori Moto3,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azhan turut menyeru agar semua peminat motosikal tanah air sama-sama hadir ke Litar Antara Sepang hujung minggu depan bagi merasai sendiri kehangatan dan acara-acara menarik yang bakal disediakan oleh pihak penganjur.