KEM sepak takraw tampak serius dalam membentuk skuad mantap khususnya dalam menghadapi Sukan SEA Kemboja 2023.

Terbaharu, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) pada Isnin melantik Azhar Sarabini sebagai ketua jurulatih baharu skuad lelaki negara.

Presiden MSC, Datuk Suhaili Abdul Rahman dipetik BebasNews berkata, Azhar diberikan kontrak sementara selama setahun yang bermula 15 Jun ini sehingga kejohanan Sukan SEA Kemboja 2023.

Tugasan pertama dia adalah menjalankan pemilihan pemain negara bagi menghadapi Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-35 di Bangkok (24 hingga 31 Julai ini) dan Piala Dunia Istaf Keempat di Daejeon, Korea Selatan (23-29 November ini).

Azhar Sarabini (kanan) diberi tanggungjawab raih pingat di Sukan SEA Kemboja 2023.

Untuk rekod, bekas ketua jurulatih Kuala Lumpur juara Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari tiga kali ini pernah mencipta kejayaan berganda sebagai juara Divisyen Perdana dan Piala Juara-juara 2021 dengan Kuala Lumpur Thunder.

Dia juga membimbing Kuala Lumpur menjuarai Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari pada 2014 di Pasir Gudang, 2015 (Pulau Pinang) dan 2017 (Serdang) selain Grand Prix Kebangsaan 2017.

 

SENARAI KETUA JURULATIH SEPAK TAKRAW MALAYSIA

1965: Razali Shukor

1967-1971: Azmi Shaari

1973: Ahmad Daud

1975: Kamaruzaman Kassim

1977: Ahmad Daud

1977:  Daud Rubai Khalim Halil

1979: Ahmad Daud

1980: Daud Rubai Khalim Halil

1980-1981: Sharkawi Rambly

1982: Kamaruzaman Kassim

1983: Khalid Abu Bakar

1984-1985: Hassan Sulaiman

1985: Zakaria Ali

1985: Sharkawi Rambly

1986-1987: Daud Rubai Khalim Halil

1988-1991: Haris Abdul Rahman

1992-1993: Yunus Ibrahim

1994: Haris Abdul Rahman

1995-1996: Suaid Osman

1997: Haris Abdul Rahman

1998: Azizuddin Khan Omar Khan

1999-2000: Rauzan Masri

2000-2001: Mahat Adnan

2002: Suaid Osman

2003-2006: Jamaluddin Hassan

2007-2009: Haris Abdul Rahman

2010: Iskandar Arshad

2011-2014: Jamaluddin Hassan

2014-2022: Abd. Talib Ahmad

2022: Azhar Sarabini