BERBAKI kira-kira empat bulan sahaja lagi untuk Sukan Olimpik Paris bermula, Malaysia dijangka diwakili 29 atlet layak sebaik pusingan kelayakan berakhir.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Kontinjen (CDM) ke Temasya Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin, biarpun setakat ini, hanya lima atlet disahkan layak secara rasmi.

CDM ke Sukan Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin mempengerusi Mesyuarat Pengurus Pasukan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Maksimum dijangka layak adalah 29 atlet. Sebenarnya ketika ini sudah ramai juga atlet kita layak tetapi beberapa jenis sukan, belum berakhir pusingan kelayakan dan badan induk sukan terbabit belum mengeluarkan senarai rasmi atlet yang layak.

“Contohnya seperti badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Lee Zii Jia, Pearly Tan-M Thinaah, kedudukan semasa mereka sudah layak Cuma belum official,” kata Hamidin, dalam sidang media selepas Mesyuarat Pengurus Pasukan ke Sukan Olimpik Paris 2024, di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di ibu negara.

CDM ke Sukan Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin yakin bilangan atlet layak ke Temasya Paris akan bertambah sebaik pusingan kelayakan jenis sukan terbabit berakhir.

Ketika ditanya mengenai prospek emas pertama negara di Paris, Hamidin berkata: “Semuanya bergantung kepada  rezeki, seperti di Rio, jika rezeki milik kita, berkemungkinan mendapat tiga emas.

“Jadi, berdasarkan potensi tetap ada dan berdasarkan fakta, Datuk Azizulhasni Awang dan Aaron-Wooi Yik boleh menyumbang (emas).”

Aaron Chia-Soh Wooi Yik antara prospek emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Prestasi konsisten Datuk Azizulhasni Awang menjadikannya antara sandaran pingat emas negara di Temasya Paris 2024.

Dalam pada itu, Hamidin berkata, sebagai CDM, beliau tidak mahu hanya fokus kepada perburuan pingat emas malah mahu kontinjen kali ini melihat kepada pungutan pingat perak dan gangsa juga.

Untuk rekod, pada Temasya Tokyo 2020, seramai 30 atlet layak membawa pulang satu perak dan satu gangsa, manakala di Rio 2016, 32 atlet layak dan kontinjen membawa pulang empat perak serta satu gangsa.

Penyertaan tertinggi atlet negara di Sukan Olimpik adalah pada Temasya Tokyo 1964, membabitkan 62 atlet.