FAKTOR kesihatan, membuatkan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang terlepas peluang sekali lagi mencipta kejayaan di pentas antarabangsa, selepas terpaksa menarik diri dari penyertaan di kejohanan Piala Negara-Negara, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Kaherah, Mesir.
Keputusan itu diumumkannya menerusi akaun Facebook peribadinya selepas mengambil kira nasihat doktor serta faktor lain menyebabkan beliau terpaksa berehat seketika.
“Demi memberi ruang untuk mendapatkan pemulihan yang optimum, tempat saya akan digantikan oleh Fadhil Zonis,” katanya.
Selain itu, pelumba berusia 35 tahun yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ itu berharap semua pihak kekal memberi sokongan terhadap rakan seperjuangannya yang lain.
“Saya memohon supaya anda semua terus memberikan sokongan kepada atlet lumba basikal yang akan bertanding di sini.
“Jadual perlumbaan adalah seperti berikut Rabu (Men’s & Women’s Team Sprint), Khamis (Men’s Keirin, Women’s Sprint, Men’s Omnium) manakala Jumaat (Women’s Keirin, Men’s Sprint, Men’s Madison, Women’s Omnium),” katanya.
Untuk rekod, Azizulhasni pernah menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung, arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne, sebelum kembali beraksi pada penghujung tahun lalu.
Azizul juga baru-baru ini membuktikan bahawa beliau masih berbisa dan menjadi pencabar pingat pada Olimpik Paris 2024, apabila meraih pingat perak di Kejohanan Piala UCI.
Beliau berjaya menamatkan saingan keirin lelaki di tempat kedua dengan catatan masa 10.263 saat pada pusingan pertama Piala Negara-Negara, di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia.