JAGUH berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan beberapa perkara yang menyebabkan dia kecewa dengan Majlis Sukan Negara (MSN) berkaitan permintaanya sebelum ini namun perkara ini akan diselesaikan dalam tempoh yang terdekat.
Sebelum ini The Pocket Rocketman itu melahirkan kekecewaannya terhadap Majlis Sukan Negara apabila beberapa permintaan yang diingini tidak dapat dipenuhi meskipun bersetuju untuk pulang ke tanah air untuk berlatih menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Azizul yang ditemui media ketika Sambutan Hari Olimpik 2023 MOM – KPM di Bukit Jalil turut menyatakan beliau akan bertemu dengan koordinator Program Road To Gold, Datuk Stuart Ramalingam minggu hadapan untuk berbincang mengenai permintaannya.
“Saya ada dengar dari berita tetapi saya belum duduk berbincang secara terperinci dan saya akan jumpa dengan Datuk Stuart Ramalingam minggu depan dan berbincang dengannya tentang permintaan saya.
“Antara contoh permintaan saya adalah saya meminta tempat tinggal kerana mengikut konsep MSN, kena duduk hostel yang mana saya berbeza konsepnya sebab saya ada keluarga. Di Melbourne, saya dapat tempat tinggal, elaun rumah dan makan. Di sini saya perlu keluarkan duit saya sendiri dan saya tanya boleh ke dapat macam di Melbourne seperti makan dan pengangkutan kerana saya perlu bergerak ke sana sini.
“Saya bising sebab dah tanya sejak setahun lebih yang lalu tetapi tiada jawapan dan sejak balik dari Januari hingga Jun, masih tidak ada apa-apa perkembangan. Saya punya jangkaan dari lima perkara ini, buat masa sekarang MSN cuba bantu satu benda dan benda lain kita bantu selepas ini kerana sekurang-kurangnya ada jawapan tetapi situasi sebelum ini semua tidak mahu memberikan jawapan dan ini yang buat saya bengang kerana sudah lama bertanya,” katanya.
Anak kelahiran Dungun itu turut menjelaskan dia hanya mahu sokongan yang relevan dan pelan perancangan kerana dia sudah memberikan segalanya buat negara dan sanggup pulang ke Malaysia selepas mengetahui kem latihan di Melbourne akan ditutup.
“Selepas dapat tahu program di Melbourne akan ditutup, saya sedia pulang tetapi kena ada pelan perancangan untuk pulang dan ramai terkejut kerana saya balik begitu sahaja tanpa pelan dan saya perlu uruskan segalanya. Saya hanya minta sokongan yang relevan dan memudahkan training saya untuk fokus ke Olimpik.
“Saya sedikit kecewa tempoh hari kerana saya dah bagi segalanya tetapi mereka masih tidak mampu menunaikan apa yang saya minta kerana saya hanya mahu satu ketenangan untuk fokus pada latihan dan pertandingan sahaja,” jelasnya.
Beliau turut berbangga dengan kejayaan dirinya yang kembali ke ranking sepuluh terbaik dunia dan melihat pencapaian ini sebagai laluan yang betul untuk ke Olimpik selepas tidak bertanding sepanjang tahun lalu.
“Saya tidak begitu risau pasal ranking tetapi ianya sebagai motivasi buat saya kerana selepas tidak beraksi setahun tahun lalu, sekarang saya dapat ‘catch up’ dalam tempoh setahun dan ianya sesuatu yang memberangsangkan. Kita boleh tengok mata ke Olimpik dan menunjukkan kita di landasan terbaik untuk ke Olimpik.”