PERJALANAN ke Paris semakin jelas hampir buat Datuk Azizulhasni Awang, apabila melonjak ke ranking nombor tiga dunia dalam acara keirin, selepas menjuarai perlumbaan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Veledrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, hujung minggu lalu.

Berdasarkan kemaskini oleh Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI), pelumba berusia 35 tahun itu, melonjak tujuh anak tangga dalam acara keirin manakala dalam acara pecut individu pula, dia berada di tempat keenam, melonjak 13 anak tangga.

Azizulhasni melojak ke kedudukan nombor tiga dunia dalam acara keirin, manakala Muhammad Shah Firdaus Sahrom turun satu anak tangga, ke kedudukan ketujuh dunia.

Justeru, peluang buat jaguh berbasikal negara itu ke Olmpik Paris 2024, bertambah kukuh.

Dalam acara keirin, pelumba berusia 35 tahun itu berada di belakang pemenang emas Olimpik Tokyo Harrie Levreysen dari Belanda dan Matthew Richardson (Australia).

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman turut berkongsi perkembangan itu menerusi platform media sosial miliknya.

“Ada sedikit berita gembira yang saya nak kongsikan dengan anda semua pagi ini. Syukur Alhamdulillah, ranking dunia semasa saya telah naik beberapa anak tangga.

“Seperti gambar yang dikongsikan kepada semua, ranking dunia saya sekarang adalah keirin nombor tiga dan pecut individu nombor enam.

“Sedikit sebanyak ini memberikan suntikan semangat untuk beraksi di Kejohanan Dunia di Glasgow (Ogos depan) nanti dan juga langkah yang amat positif di dalam proses kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024. Terima kasih tidak terhingga diatas sokongan dan doa daripada anda semua,” katanya.

Kenaikan ranking dunia pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu dibantu faktor prestasi cemerlangnya ketika Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023, minggu lalu yang menyaksikan dia berjaya membawa pulang pingat emas bagi acara keirin dan pecut.

Datuk Azizulhasni Awang kini menghuni tangga keenam dunia acara pecut.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom, naik 12 kedudukan kini di tangga ke-19 dunia acara pecut.

Kejayaan itu juga membolehkan Azizulhasni mengumpul keseluruhan 12 emas sepanjang penyertaannya dalam saingan ACC sejak kali pertama pada 2007, sekali gus bergelar legenda Asia.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turun satu anak tangga di kedudukan ketujuh bagi ranking keirin namun naik 12 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-19 dalam acara pecut individu.

Pelumba berusia 28 tahun itu meraih gangsa menerusi acara keirin pada ACC minggu lalu.