PELUMBA basikal sensasi negara, Datuk Azizulhasni Awang memilih Nasi Dagang dan Nasi Lemak sebagai makanan kegemarannya dan gembira kerana makanan itu mudah didapati kini berbanding ketika dia di Melbourne, Australia sebelum ini.

Selain Nasi Dagang, jaguh keirin negara itu juga meminati Nasi Lemak kerana dia menganggap juadah itu adalah makanan tradisi negara ini yang kini sudah mendapat perhatian penggemar makanan seluruh dunia.

“Sebagai orang Terengganu, sudah tentu Nasi Dagang menjadi makanan kegemaran saya. Ketika di Melbourne, saya susah nak dapat Nasi Dagang sebab isteri saya yang berasal dari Perak tidak begitu pandai memasak Nasi Dagang berbanding tempoyak.

“Saya hanya makan Nasi Dagang di sana apabila ada rakyat Malaysia yang pandai memasaknya memberikan kepada saya namun ianya tidak sama dengan Nasi Dagang di Terengganu.

“Sebagai rakyat Malaysia pula, saya sukakan Nasi Lemak kerana ianya adalah makanan kegemaran semua orang di Malaysia,” katanya.

Azizulhasni atau mesra disapa Jijoe juga akan melakukan ibadah korban di kampungnya di Terengganu dan beliau melakukan ibadah itu kerana sudah berniat lebih awal dan bukan kerana kemenangan dua pingat emasnya di Kejohanan Basikal Asia 2023 minggu lalu.

Datuk Azizulhasni Awang

“Ya saya akan lakukan korban di kampung dan juga di Kuala Lumpur. Saya sudah berniat awal untuk buat korban dan bukan sebab saya menang ACC,” tambahnya.

Azizulhasni adalah prospek emas terbaik negara di Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dan dia kini sedang menjalani latihan intensif dengan segala permintaan yang diminta ditunaikan oleh jawatankuasa program Road To Gold bagi memastikan dia dapat menjalani latihan dengan lebih fokus.